PM Anwar zahir rasa simpati, duka cita terhadap mangsa banjir di Sabah dan Sarawak | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PM Anwar zahir rasa simpati, duka cita terhadap mangsa banjir di Sabah dan Sarawak

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 30 Jan - Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menzahirkan rasa duka cita dan bersimpati terhadap ribuan mangsa banjir di Sabah dan Sarawak.

 

Beliau telah mengarahkan Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) untuk memperkemas penyelarasan seluruh kekuatan jentera agensi persekutuan dan negeri. 

 

Perdana Menteri menegaskan, keutamaan saat ini adalah kebajikan mangsa banjir serta keselamatan penduduk di kawasan terkesan.

 

"Jabatan Pendidikan Negeri turut diarah mengambil langkah sewajarnya bagi memastikan calon peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) yang terjejas, dapat menjalani peperiksaan dengan selamat dan kondusif,” katanya dalam satu kenyataan di laman Facebook, hari ini.

 

banjir

 

Perdana Menteri berkata, skuad Ihsan Madani akan turun membantu mangsa banjir di pusat pemindahan sementara serta bersiap siaga bagi penugasan pasca banjir.

 

"Moga semua mangsa yang terkesan diberi kesabaran dan ketabahan sepanjang tempoh musibah ini melanda," katanya.

 

Situasi banjir di Sabah dan Sarawak semakin buruk susulan lebih 8,000 orang dipindahkan.

 

Keadaan itu sangat membimbangkan apabila ia terus meningkat sehingga memaksa penduduk dipindahkan ke pusat pemindahan sementara (PPS).

 

Berdasarkan maklumat Pusat Kawalan Bencana Negara (NDCC), jumlah mangsa banjir di Sarawak meningkat kepada 5,106 orang daripada 1,416 keluarga setakat 3 petang ini dan kesemua mereka ditempatkan di 42 PPS  yang dibuka.

 

Bagi Sabah, jumlah terkini mangsa yang terjejas adalah 3,550 daripada 1,232 keluarga yang dipindahkan ke 25 PPS terdekat. - DagangNews.com