KUALA LUMPUR 17 Ogos – Perbadanan Insurans Deposit Malaysia (PIDM) melantik Afiza Abdullah sebagai Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) bagi tempoh tiga tahun berkuat kuasa 28 Ogos 2026.
Pelantikan itu dibuat ketika PIDM meneruskan usaha memperkukuh tahap kesediaan resolusi dan persediaan organisasi dalam menghadapi sebarang krisis yang boleh menjejaskan kestabilan sistem kewangan.
Pengerusi PIDM, Datuk Abu Huraira Abu Yazid berkata, Lembaga Pengarah yakin pengalaman dan kepakaran Afiza mampu memastikan peralihan kepimpinan yang lancar serta kesinambungan usaha penting organisasi berkenaan.
Menurut beliau, perkembangan kerjaya Afiza dalam PIDM turut mencerminkan kekuatan pembangunan bakat dan perancangan penggantian kepimpinan yang dilaksanakan organisasi itu.
Berpengalaman Lebih Dua Dekad Dalam Sektor Kewangan
Afiza mempunyai lebih dua dekad pengalaman dalam sektor perbankan dan insurans meliputi bidang kawal selia kewangan, pembangunan dasar, pengurusan krisis serta resolusi institusi kewangan.
Beliau menyertai PIDM pada 2011 dan memainkan peranan penting dalam membangunkan fungsi resolusi bagi institusi ahlinya, termasuk mengoperasikan rangka kerja Perancangan Pemulihan dan Resolusi bersama Bank Negara Malaysia.
Afiza turut memainkan peranan dalam memperkukuh kerjasama antara agensi berkaitan bagi memastikan semua pihak lebih bersedia menghadapi sebarang krisis kewangan menerusi latihan simulasi krisis.
Sepanjang berada di PIDM, beliau turut menerajui pelbagai inisiatif strategik di bawah Sistem Perlindungan Manfaat Takaful dan Insurans (TIPS), termasuk penambahbaikan Sistem Levi Berbeza berdasarkan risiko serta peraturan maklumat TIPS.
Naik Pangkat Dalam PIDM Secara Berperingkat
Perkembangan kerjaya Afiza dalam PIDM menyaksikan beliau dilantik sebagai Pengurus Besar, Polisi dan Antarabangsa pada 2016 sebelum dinaikkan ke jawatan Naib Presiden Eksekutif, Resolusi pada 2022.
PIDM berkata, perkembangan tersebut merupakan sebahagian daripada perancangan penggantian kepimpinan yang dirancang secara teliti dan diketuai Lembaga Pengarah.
Sebelum menyertai PIDM, Afiza berkhidmat hampir sedekad di Bank Negara Malaysia dan terlibat dalam pembangunan dasar berhemat, pemodenan Akta Bank Negara Malaysia 2009 serta penggubalan Pelan Sektor Kewangan.
Di peringkat antarabangsa, beliau turut aktif dalam memajukan amalan insurans deposit, skim jaminan insurans dan resolusi institusi kewangan menerusi International Association of Deposit Insurers (IADI) serta International Forum of Insurance Guarantee Schemes (IFIGS).
Afiza kini berkhidmat sebagai Naib Pengerusi Jawatankuasa Serantau Asia-Pasifik IADI sejak 2024 dan sebelum ini memegang beberapa jawatan kepimpinan dalam IFIGS, termasuk sebagai Pengerusi pada 2022.
Sementara itu, Lembaga Pengarah PIDM merakamkan penghargaan kepada Rafiz Azuan Abdullah atas kepimpinan beliau selama sembilan tahun, dengan menyifatkan PIDM kini berada pada kedudukan kukuh untuk meneruskan mandatnya pada masa depan. - DagangNews.com








