KUALA LUMPUR 18 Jun - Phillip Capital menyemak turun unjuran pendapatan UWC Bhd bagi FY25 disebabkan margin yang lebih lemah daripada jangkaan.
Katanya, kumpulan itu berjaya mencatatkan hasil stabil antara RM90 juta hingga RM95 juta untuk tiga suku tahun lalu dan ia menunjukkan pemulihan sedang berjalan dengan baik.
Firma penyelidikan itu berkata, momentum itu disokong prestasi kukuh bahagian hadapan yang menyumbang antara 20% hingga 30% daripada pendapatan suku tahunannya.
Keuntungan bersih bagi 9MFY25 meningkat kepada RM33 juta didorong oleh pendapatan yang lebih kukuh, pengembangan margin dan kadar cukai efektif yang lebih rendah.
"Secara keseluruhan, pendapatan adalah di bawah jangkaan, menyumbang 61% daripada anggaran FY25 kami dan 55% daripada anggaran pasaran.
"UWC kekal sebagai proksi yang menarik kepada kitaran menaik semikonduktor, didorong peningkatan pendedahan dalam segmen fabrikasi dan penglibatan yang semakin meningkat dalam rantaian nilai Kecerdasan Buatan (AI)," katanya dalam satu nota kajian.
Firma penyelidikan itu berkata, pendapatan dijangka meningkat pada suku-suku akan datang, disokong pemulihan dalam segmen belakang (back-end) dan kecekapan operasi yang lebih baik dalam operasi segmen hadapan (front-end).
Katanya, mereka percaya penilaian premium syarikat masih wajar memandangkan kedudukannya dalam pasaran semikonduktor segmen hadapan yang berpotensi tinggi untuk terus mencatatkan pertumbuhan.
"Bagaimanapun mereka berdepan beberapa risiko termasuk pemulihan lebih tempahan dan margin yang lebih lemah daripada jangkaan," katanya.- DagangNews.com








