KUALA LUMPUR 2 Sept — EG Industries Berhad berdepan dengan cabaran untuk memastikan momentum pertumbuhan keuntungan kumpulan berkenaan dapat dikekalkan, menurut analisis Phillip Capital.
Firma penyelidikan tersebut menambah, prestasi masa depan kumpulan itu semakin bergantung kepada kejayaan meningkatkan pengeluaran modul optikal 800G dan suis rangkaian co-packaged optics (CPO).
Bagaimanapun ia menjangkakan hasil kumpulan dapat terus meningkat secara suku ke suku (QoQ), dengan disokong peningkatan konsisten tempahan baharu bagi modul optikal dan suis rangkaian berkenaan.
"Justeru, kami mengulangi saranan ‘beli’ dengan harga sasaran (TP) iaitu RM2.65 berbanding RM2.50, setelah menilai prestasi EG bagi tahun kewangan berakhir 30 Jun 2026 (FY26)," kata Phillip Capital.
Ujarnya, kedudukan kewangan kumpulan itu lebih baik daripada jangkaannya apabila keuntungan bersih teras naik 44% tahun ke tahun (YoY) kepada RM102 juta, atau 108% daripada unjuran firma berkenaan.
Pencapaian itu disumbangkan pertumbuhan hasil 31% YoY kepada RM1.43 bilion, didorong jualan kukuh bagi modul optikal dan peranti tanpa wayar, selain penggabungan anak syarikat baharu, ND Rubber.
Margin EG jelas Phillip Capital, turut meningkat kepada 15%, didorong campuran produk yang lebih menguntungkan serta peningkatan pengeluaran bagi produk modul optikal dengan margin tinggi.

"Bagi suku keempat FY26 (4QFY26), kumpulan ini mencatat satu lagi rekod prestasi apabila keuntungan teras naik 31% QoQ kepada RM30 juta, manakala hasil pula melonjak kira-kira 33% QoQ," tambahnya.
Menurutnya, prestasi kukuh itu disokong peningkatan tempahan modul optikal 800G, suis rangkaian dan peranti tanpa wayar 5G, dengan margin turut bertambah baik dua mata peratusan QoQ kepada 18%.
Modul optikal 800G kata Phillip Capital, menjana 100% pengeluaran EG berbanding 90% pada 3QFY26, manakala kadar pengeluaran naik kepada 85% daripada 80%, menunjukkan kecekapan operasi yang baik.
Sehubungan itu, ia menjangkakan kadar keuntungan suku tahunan terus meningkat apabila jumlah pengeluaran modul optikal 800G bertambah dan pengeluaran suis rangkaian terus dipertingkatkan.
"Kami turut menaikkan unjuran pendapatan sesaham (EPS) FY27 hingga FY28 sebanyak 4% hingga 6%, susulan jangkaan jumlah pengeluaran 800G lebih tinggi dan margin yang lebih baik," jelasnya lagi.
Phillip Capital mengekalkan gandaan penilaian sasaran 24 kali nisbah harga kepada pendapatan (PE) bagi FY27 dan melihat pendedahan EG kepada segmen modul optikal 800G sebagai pemacu pertumbuhan.
Unjuran tersebut selari dengan perkembangan pesat pusat data (DC) berasaskan kecerdasan buatan (AI) di peringkat global, namun mengingatkan beberapa risiko termasuk kehilangan pelanggan utama.
Kelewatan proses peningkatan pengeluaran produk serta tempahan pelanggan yang lemah daripada jangkaan juga boleh menjejaskan momentum pertumbuhan dan penilaian saham. - DagangNews.com








