Phillip Capital: Penutupan sempadan Kemboja-Thailand halang pemulihan operasi RGB International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Phillip Capital: Penutupan sempadan Kemboja-Thailand halang pemulihan operasi RGB International

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 5 Jun — Langkah penutupan berterusan sempadan antara Kemboja dan Thailand masih menjadi halangan utama kepada pemulihan operasi permainan elektronik RGB International Berhad.

 

Bagaimanapun menurut Phillip Capital, tindakan pengurangan kos secara agresif serta peningkatan trafik pelanggan di Laos dijangka membantu meningkatkan prestasi kumpulan dalam tempoh terdekat.


Katanya, walaupun segmen sistem pengurusan teknikal (TMS) masih terkesan akibat sekatan sempadan, pengurangan 50% pekerja kumpulan itu di Kemboja dijangka menyokong usaha pemulihan keuntungannya.


"Pada masa sama, peningkatan kemasukan pelancong Thailand ke Laos sejak suku kedua 2026, dilihat menaikkan jualan TMS dan sumbangan hasil RGB International," kata firma itu dalam analisisnya.


Tambah Phillip Capital, perkembangan positif berkenaan didorong faktor penawaran lebih kompetitif oleh kebanyakan pengendali resort bersepadu (IR) serta hubungan pengangkutan yang lebih baik.


Sehubungan itu ujarnya, prospek keseluruhan kumpulan tersebut masih adalah kekal positif dengan perniagaan mesin permainan elektronik (EGM) terus menunjukkan momentum trend yang semakin kukuh.


RGB International menyasarkan penghantaran 3,800 unit EGM pada 2026 berbanding 2,300 unit pada 2025, disokong permintaan penggantian mesin yang sedia ada dan banyak projek IR baharu di rantau ASEAN.


"Setakat ini, kumpulan memperoleh tempahan 2,000 unit termasuk 1,000 unit daripada sebuah projek IR yang baharu di Filipina dan dijadualkan dihantar menjelang suku ketiga 2026," kata Phillip Capital.


Selain itu jelas firma penyelidikan tersebut, syarikat berpotensi memperoleh tambahan tempahan sekitar 200 unit lagi yang dijangka dapat diserahkan kemudian menjelang suku keempat tahun ini.


 

RGB International_DagangNews2026


Menurutnya, pasaran Vietnam dan Emiriah Arab Bersatu (UAE) pula turut membuka ruang pertumbuhan baharu kepada margin pendapatan serta keuntungan RGB International dalam tempoh jangka sederhana.


Di Vietnam ujar Phillip Capital, sebuah projek IR baharu dijangka beroperasi pada 2027 dan mampu menyumbang jualan 400 unit EGM pada fasa pertama, atau 10% daripada unjuran jualan kumpulan itu.


"Dalam perkembangan lain, kumpulan mencatat kemajuan penting di UAE selepas meraih lesen vendor berkaitan permainan daripada General Commercial Gaming Regulatory Authority (GCGRA)," katanya.


Kejayaan terbaharu itu tambah firma penyelidikan berkenaan, sekali gus dapat membolehkan RGB International membina kedudukan awal dalam pasaran permainan yang masih baharu di negara tersebut.


Berdasarkan kepada situasi semasa, Phillip Capital mengekalkan saranan 'beli' terhadap saham kumpulan penyedia perniagaan EGM itu dengan harga sasaran (TP) 12 bulan sebanyak 45 sen sesaham.


Ia berpandangan penilaian semasa sahamnya masih menarik dengan nisbah harga kepada pendapatan (PER) sekitar empat kali berdasarkan unjuran 2027, selain disokong prospek pemulihan pendapatan.


"Kedudukan tunai bersih RGB International sebanyak RM110 juta setakat suku pertama 2026, bersamaan 36% daripada nilai permodalan pasarannya, memberikan fleksibiliti kewangan yang kukuh," jelasnya.


Pada masa sama ujar Phillip Capital, saham kumpulan berkenaan turut menawarkan hasil dividen yang menarik sekitar 13% berdasarkan kepada andaian kadar pembayaran dividen mampu mencecah 50%.


Namun ia mengingatkan risiko perubahan dasar kawal selia industri permainan, jualan EGM yang lebih rendah serta kebergantungan kepada pasaran utama kekal boleh menjejaskan prospek syarikat. - DagangNews.com