KUALA LUMPUR 11 Mei – Pharmaniaga Berhad dijangka mampu menyambung semula pembayaran dividen bagi tahun kewangan 2026, selepas berjaya keluar daripada status PN17 pada Mac lalu, kata BIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata pemulihan prestasi kewangan dan kestabilan operasi membuka ruang kepada pembayaran dividen per saham (DPS) sekitar 0.75 sen, yang bersamaan dengan hasil dividen kira-kira 3 peratus.
“Jangkaan pengagihan dividen ini boleh menjadi pemangkin utama kepada penilaian semula (re-rating) saham Pharmaniaga, sekali gus meningkatkan sentimen pelabur terhadap kaunter tersebut.
“Kami juga tidak menolak kemungkinan syarikat turut mengumumkan dividen khas pada masa depan sekiranya aliran tunai terus bertambah baik, walaupun ia bergantung kepada keperluan perbelanjaan modal serta usaha penstabilan kunci kira-kira,” kata BIMB Securities dalam nota kajiannya.
Sehubungan itu, firma tersebut mengekalkan saranan “beli” ke atas Pharmaniaga dengan harga sasaran tidak berubah pada 37 sen, iaitu yang tertinggi dalam kalangan tiga penganalisis yang meliputi saham tersebut berdasarkan data Bloomberg.
Harga sasaran itu mencerminkan potensi kenaikan lebih 54 peratus berbanding harga semasa sekitar 24 sen, yang menunjukkan ruang pemulihan masih belum sepenuhnya dihargai pasaran.
Bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026 (1QFY26), BIMB Securities menjangkakan keputusan kewangan syarikat akan datang sedikit lebih baik atau sekurang-kurangnya dalam jangkaan, disokong pertumbuhan hasil sekitar 10 hingga 11 peratus tahun ke tahun.
Pertumbuhan tersebut disokong oleh permintaan berterusan daripada kontrak perolehan kerajaan serta pengembangan berperingkat dalam pasaran swasta, yang terus menjadi penyumbang utama kepada hasil kumpulan.
Keuntungan sebelum cukai (PBT) bagi suku berkenaan dianggarkan sekitar RM33 juta, manakala keuntungan selepas cukai dan kepentingan minoriti (PATAMI) dijangka berada dalam lingkungan RM35 juta hingga RM36 juta, sebahagiannya disokong oleh pengiktirafan aset cukai tertunda (DTA).
Menurut BIMB Securities, suku pertama lazimnya merupakan tempoh lebih kukuh bagi Pharmaniaga berikutan kitaran perolehan kerajaan yang lebih aktif pada awal tahun, selain faktor bermusim dalam operasi.
Dari sudut operasi, tekanan kos dilihat masih terkawal setakat ini, disokong oleh inventori bahan mentah sedia ada serta struktur kos segmen konsesi yang stabil termasuk mekanisme penghantaran tetap dan subsidi diesel.
Bagaimanapun, risiko peningkatan kos masih wujud, khususnya sekiranya ketegangan geopolitik seperti konflik Iran berlarutan, yang berpotensi meningkatkan kos bahan mentah dan logistik dengan anggaran kesan sekitar 3 peratus terhadap kos jualan.
Firma itu turut memberi amaran berkaitan gangguan dalam kitaran perolehan Approved Product Purchase List (APPL), termasuk kelewatan tender serta kenaikan purata harga pembekal sekitar 20 peratus, boleh memberi tekanan kepada margin keuntungan.
Namun, BIMB Securities tetap mengekalkan pandangan positif terhadap Pharmaniaga, dengan jangkaan bahawa pemulihan pendapatan, potensi pengembalian dividen serta pengiktirafan DTA akan menjadi pemacu utama peningkatan nilai syarikat dalam tempoh sederhana. - DagangNews.com








