KUALA LUMPUR 13 Feb - Petroleum Sarawak Bhd (Petros) memberi jaminan tidak akan berlaku kenaikan harga silinder gas petroleum cecair (LPG) di seluruh negeri itu walaupun terdapat gangguan bekalan akibat banjir di Bintulu, baru-baru ini.
Kumpulan itu berkata, mereka telah mengaktifkan pelan kesinambungan perniagaan dengan mendapatkan bekalan LPG dari Kuching dan Teluk Sepanggar di Sabah bagi memastikan bekalan mencukupi untuk pelanggan di wilayah utara.
Petros juga akan meningkatkan kapasiti pengangkutan LPG dari Kuching dan Teluk Sepanggar, serta mewujudkan depoh untuk kapasiti penyimpanan tambahan di Miri.
"Banjir baru-baru ini menyebabkan tanah runtuh di Kilang Pembungkusan LPG Sumber Bersepadu Pusaka di Bintulu, menghentikan sementara operasi kilang itu demi keselamatan masyarakat sekelilingnya.
“Banjir telah menjejaskan laluan operasi dan pengangkutan utama, melambatkan penghantaran ke bahagian Sarawak.
"Petros secara aktif bekerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan, rakan kongsi logistik dan pengedar tempatan untuk mempercepatkan penyimpanan semula dan penghantaran, dengan situasi itu dijangka dapat diselesaikan secepat mungkin,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.
Kumpulan itu menyedari terdapat penyebaran maklumat tidak benar di media sosial yang mendakwa pengguna akan dikenakan peningkatan kos tambahan dan mereka menegaskan, ia tidak benar kerana Petros menanggung semua kos pengangkutan bagi mengelakkan sebarang kenaikan harga.
Bagi menghalang pihak tidak bertanggungjawab daripada mengambil kesempatan daripada situasi itu, Petros menggalakkan pelanggan melaporkan sekiranya terdapat mana-mana pihak yang menakan caj tambahan kepada Perkhidmatan Pelanggan PetrosNiaga di 1300-88-2122 untuk tindakan segera.
Petros juga menggesa orang ramai untuk mengelak daripada berkongsi maklumat palsu serta mengelak pembelian panik – membeli hanya apa yang perlu untuk memastikan pengagihan yang adil untuk semua.
"Kami menghargai kesabaran dan pemahaman semua orang sepanjang masa yang mencabar ini dan memberi jaminan, kami bekerja sepanjang masa untuk memastikan semua pihak mempunyai akses kepada LPG.
"Kami memohon maaf dan kesal atas sebarang kesulitan yang mungkin berlaku kepada isi rumah dan perniagaan, dan yakinlah kami bekerja tanpa jemu untuk menormalkan keadaan," katanya.- DagangNews.com








