KUALA LUMPUR 17 Jun - PETRONAS dijangka mengambil masa antara satu kedua tahun bagi menubuhkan syarikat usaha sama dengan syarikat tenaga Itali, Eni bagi aset huluan di Indonesia dan Malaysia.
Kedua-dua syarikat telah mengumumkan rangka kerja usaha sama, meneruskan perjanjian yang ditandatangani pada Februari lalu yang berpotensi menghasilkan sehingga 500,000 tong sehari bersamaan minyak (boe) dengan menggabungkan kira-kira bilion boe rizab dan tambahan potensi penerokaan 10 bilion boe.
“Asia mempunyai potensi yang amat besar.
“Kerjasama antara negara, untuk mencari sinergi, berkongsi tenaga, dan menghimpunkan sumber serta kepakaran, adalah sesuatu yang penting. Dan ini adalah contoh yang sangat kukuh — Indonesia dan Malaysia bersama-sama," kata Ketua Pegawai Eksekutif Eni, Claudio Descalzi, kepada Reuters semasa persidangan Energy Asia di sini hari ini.
Gabungan aset itu memberi tumpuan kepada Lembangan Kutai di Indonesia, di mana portfolio Eni merangkumi pembangunan di hab Utara dan Gendalo-Gandang yang mempunyai simpanan gas yang besar.
“Keseluruhan idea di sebalik gabungan ini adalah untuk mewujudkan satu entiti bebas yang boleh dibiayai sendiri,” kata Naib Presiden Eksekutif dan CEO portfolio huluan di PETRONAS, Mohd Jukris Abdul Wahab semasa persidangan tersebut.
PETRONAS sebelum ini berkata, pihaknya bercadang untuk memasukkan projek minyak dan gas di Lembangan Kutai, Indonesia, ke dalam usaha sama yang dirancang, dengan cadangan untuk menukar kepentingan asetnya di Malaysia dan Indonesia dengan blok-blok milik Eni di kawasan berkenaan.
Namun begitu, PETRONAS berkata, aset-aset di Indonesia yang baru sahaja dianugerahkan kepada syarikat itu, seperti blok Binaiya dan Serpang, tidak akan dimasukkan dalam perjanjian ini.
Kedua-dua syarikat menyatakan hasrat untuk memuktamadkan perjanjian tersebut menjelang akhir tahun ini, dengan pelaksanaannya tertakluk kepada kelulusan pihak berkuasa. - DagangNews.com








