PETRONAS meterai kerjasama digital tingkatkan daya saing penerokaan, pengeluaran | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

PETRONAS meterai kerjasama digital tingkatkan daya saing penerokaan, pengeluaran

KUALA LUMPUR 19 Jun - PETRONAS menerusi Malaysia Petroleum Management (MPM), telah memeterai memorandum persefahaman (MoU) semasa Energy Asia 2025 bagi mencerminkan komitmen kumpulan tersebut terhadap kerjasama global bagi memperkukuh kedudukan Malaysia sebagai persekitaran huluan yang bernilai tinggi, tangkas dan mesra pelabur.

 

MoU tersebut melibatkan kerjasama dengan Amazon Web Services, SLB, Halliburton, Microsoft, Accenture, Iraya Energies, Rystad Energy Advisory Asia Pacific dan S&P Global Commodity Insights.

 

PETRONAS berkata kerjasama itu merupakan langkah penting dalam perjalanan transformasi digital sektor huluan Malaysia, yang direka bentuk untuk mempercepat proses membuat keputusan pelabur melalui penggunaan teknologi canggih yang memfokuskan kepada kecerdasan buatan Agentik dan pengkomputeran berprestasi tinggi.

 

Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Bacho Pilong berkata, di PETRONAS pihaknya percaya dengan mengadaptasi kecerdasan digital dan menjalinkan kerjasama strategik, mereka sedang meningkatkan daya saing sektor Eksplorasi dan Pengeluaran (E&P) Malaysia, serta mewujudkan persekitaran pelaburan yang berteraskan kelajuan, kebolehpercayaan data dan ketelusan. 

 

"Kami sedang mempertingkatkan platform data E&P berasaskan web kami, PETRONAS myPROdata bagi menyokong Pusingan Bidaan Malaysia pada masa hadapan.

 

"Kerjasama ini juga bertujuan mengubah cara kerja kami, membuka nilai baharu melalui teknologi, membolehkan keputusan pelaburan yang lebih baik dan mengukuhkan daya tarikan Malaysia kepada pemain tenaga global," katanya dalam satu kenyataan.

 

PETRONAS kekal komited untuk memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam menguruskan pengaturan petroleum serta menyediakan tadbir urus untuk aktiviti huluan petroleum di Malaysia. - DagangNews.com