KUALA LUMPUR 18 Jun - PETRONAS menerusi anak syarikatnya, PETRONAS Suriname E&P BV (PSEPBV) menandatangani Kontrak Perkongsian Pengeluaran (PSC) bagi Blok 66, yang terletak di kawasan perairan dalam luar pesisir Suriname.
Perjanjian tersebut telah ditandatangani bersama Staatsolie Maatschappij Suriname NV dan Paradise Oil Company NV (POC), anak syarikat milik penuh Staatsolie.
Di bawah PSC itu, PETRONAS memegang peranan sebagai operator dengan 80% kepentingan penyertaan, manakala POC memegang baki 20%.
Meliputi kawasan seluas kira-kira 3,390 kilometer persegi, Blok 66 terletak bersebelahan dengan Blok 52 di kawasan perairan dalam luar pesisir Suriname, di mana PETRONAS telah mencatat beberapa kejayaan dalam penerokaan dan penilaian sebelum ini.
Berdasarkan asas kukuh ini, PETRONAS optimis momentum positif dan pengalaman yang diperoleh daripada Blok 52 akan dapat diteruskan di Blok 66 sambil terus meneroka dan membuka potensi hidrokarbon di kawasan tersebut, lapor Bernama.
PSC itu merangkumi komitmen kukuh untuk menggerudi dua telaga penerokaan, yang menyasarkan prospek sedia-digerudi dengan potensi sumber yang besar dan kedudukan strategik untuk membuka sinergi dengan operasi PETRONAS sedia ada di Suriname.
Majlis menandatangani perjanjian itu berlangsung semasa Sidang Kemuncak dan Pameran Tenaga, Minyak dan Gas Suriname dengan PETRONAS diwakili oleh Naib Presidennya bagi Aset Antarabangsa Huluan, Mohd Redhani Abdul Rahman.
Sementara itu, Staatsolie Maatschappij Suriname NV diwakili Pengarah Urusannya, Annand Jagesar, manakala POC diwakili Pengarahnya, Rekha Bissumbhar.
Mohd Redhani berkata, "Pengambilalihan ini merupakan langkah penting dalam pengembangan PETRONAS ke dalam lembangan hidrokarbon Suriname-Guyana, selari dengan strategi kami untuk membuka aset bernilai tinggi dan berpotensi besar serta menyampaikan nilai jangka panjang melalui kerjasama global dan inovasi perairan dalam.
"Dengan lokasi strategik dan potensi sumber yang besar, Blok 66 melengkapi portfolio perairan dalam sedia ada PETRONAS.
“Kami berharap dapat mengukuhkan lagi kerjasama kami dengan Staatsolie untuk membuka peluang tenaga baharu bersama,” katanya.
Perjanjian itu juga mencerminkan komitmen PETRONAS terhadap pembangunan tenaga yang bertanggungjawab, dengan peruntukan khusus yang menyokong penyertaan tenaga kerja tempatan serta pelaburan sosial secara mampan – memastikan penjajaran dengan matlamat pembangunan negara Suriname.
Penambahan terbaharu itu menjadikan jumlah pegangan luar pesisir PETRONAS di Suriname kepada enam blok, sekali gus mengukuhkan kedudukannya di negara tersebut susulan empat penemuan setakat ini. - DagangNews.com








