KUALA LUMPUR 10 Jun - Petronas mengulangi komitmennya untuk menjaga kebajikan kakitangan di tengah-tengah pelaksanaan penstrukturan semula syarikat yang akan melibatkan pengurangan kira-kira 10% daripada tenaga kerjanya, termasuk penawaran pakej pemberhentian kerja yang kompetitif.
Kumpulan itu berkata, bagi menyokong kakitangan yang terjejas, satu program peralihan menyeluruh telah disediakan bagi memastikan setiap keputusan dibuat dengan adil, penuh hormat dan profesionalisme.
“Kakitangan yang terjejas akan menerima pakej pemberhentian kerja yang kompetitif di pasaran – melebihi keperluan minimum yang ditetapkan oleh undang-undang,” katanya dalam satu kenyataan.
Pengeluar tenaga itu turut menyatakan, selain sokongan kewangan, kakitangan yang terkesan juga akan menerima perkhidmatan sokongan emosi, bimbingan kerjaya dan bantuan pencarian pekerjaan, panduan perancangan kewangan, serta akses kepada program bantuan perubatan, peningkatan kemahiran dan latihan semula.
ARTIKEL BERKAITAN: Petronas sasar hingga akhir tahun proses penamatan 10% kakitangan
"Pakej dan manfaat yang ditawarkan adalah berdasarkan tempoh perkhidmatan kakitangan dan mungkin berbeza bergantung kepada kategori dan kelayakan kakitangan,” katanya.
Pada minggu lalu, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan, Tan Sri Tengku Muhammad Taufik Tengku Aziz mengumumkan, syarikat itu akan mengurangkan jumlah kakitangannya melebihi 5,000 orang dalam usaha mengurangkan kos susulan kejatuhan harga minyak mentah.
Beliau berkata, kakitangan yang terjejas akan dimaklumkan secara berperingkat dan pembekuan pengambilan pekerja akan dikekalkan sehingga Disember 2026.
ARTIKEL BERKAITAN: PETRONAS akan kurangkan 10% tenaga kerja ekoran keuntungan merosot - Tengku Muhammad Taufik
Petronas hari ini memaklumkan, ia telah menubuhkan sebuah majlis peralihan serta jawatankuasa pembangunan modal insan bagi memudahkan pemetaan bakat dan memastikan keputusan penempatan dibuat secara kolektif, berpandukan platform yang telah ditetapkan.
“Proses ini juga mematuhi keperluan undang-undang berkaitan dan mengamalkan amalan hubungan industri yang sewajarnya,” menurut kenyataan itu.
Kumpulan itu berkata, ia telah berunding dengan jabatan-jabatan berkaitan buruh dan hubungan industri di bawah Kementerian Sumber Manusia bagi memastikan pematuhan terhadap keperluan statutori.
ARTIKEL BERKAITAN: Pemberhentian Petugas Petronas Banyak Babit Pekerja Kontrak - PM Anwar
Petronas juga bekerjasama dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui MyFutureJobs untuk meneroka peluang penempatan bagi kakitangan terjejas yang layak dalam sektor-sektor lain.
Penempatan berpotensi kakitangan yang terkesan di pelbagai syarikat berkaitan kerajaan (GLC) lain, termasuk syarikat minyak dan gas, sedang diterokai, kata Petronas.
“Selain itu, program keusahawanan syarikat yang dijalankan di bawah Petronas Innovation Garage menawarkan laluan bimbingan ke arah pemilikan perniagaan bagi mereka yang ingin meneroka kerjaya alternatif," katanya. - DagangNews.com








