KUALA LUMPUR 26 Jun - PETRONAS, melalui Malaysia Petroleum Management (MPM) memeterai kerjasama strategik dengan Pangkalan Bekalan Kemaman Sdn Bhd (PBKSB), anak syarikat Eastern Pacific Industrial Corporation Berhad (EPIC) bagi mengukuhkan pengurusan bahan bagi segmen huluan dan mwujudkan gudang berpusat di Kemaman.
Menerusi kerjasama itu, kedua-dua pihak berhasrat untuk menubuhkan sebuah “Pusat Sehenti” yang menawarkan perkhidmatan logistik menyeluruh bagi menyokong operasi huluan minyak dan gas.
Antara inisiatif utama dalam usaha itu ialah pelaksanaan perintis gudang berpusat di Pangkalan Bekalan Kemaman, yang disasarkan untuk memulakan operasi pada 2026.
Model itu akan memanfaatkan teknologi digital, proses yang diseragamkan dan infrastruktur yang bersepadu bagi meningkatkan kecekapan rantaian bekalan.
Pendekatan itu dijangka dapat meningkatkan keterlihatan, mengurangkan kos penyimpanan inventori dan meminimumkan bahan lebihan — faktor-faktor yang kritikal dalam mempertingkatkan ketangkasan dan daya tahan operasi dalam sektor huluan Malaysia.
Kerjasama itu dimuktamadkan menerusi satu Memorandum Persefahaman (MoU) yang ditandatangani oleh Pengurus Besar Kanan bagi Pengurusan Pengeluaran dan Operasi MPM, Handan Ramli dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan EPIC, Dr Ts. Muhtar Suhaili.
Naib Presiden Kanan MPM, Datuk Ir. Bacho Pilong berkata, Malaysia menawarkan rangkaian rantaian bekalan yang bersepadu dan mudah diakses bagi menyokong aktiviti pelaburan penerokaan dan pengeluaran (E&P) di seluruh negara.
"Pertukaran MoU hari ini menyerlahkan komitmen kami untuk terus memperkukuh Malaysia sebagai destinasi pelaburan E&P yang digemari dengan mewujudkan persekitaran yang kondusif untuk pertumbuhan, penyeragaman operasi dan pemajuan penyelesaian berasaskan teknologi merentasi rantaian nilai minyak dan gas," katanya dalam satu kenyataan.
PETRONAS kekal komited memastikan bekalan tenaga yang optimum dan mampan, dengan MPM memainkan peranan penting dalam mengurus sumber petroleum negara serta menjadi pemegang amanah bagi aktiviti petroleum huluan di Malaysia. - DagangNews.com








