Pertumbuhan Malaysia sekitar 4.5%-5% pada 2025 disokong asas ekonomi kukuh dan peningkatan pelaburan asing - Hong Leong Bank | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertumbuhan Malaysia sekitar 4.5%-5% pada 2025 disokong asas ekonomi kukuh dan peningkatan pelaburan asing - Hong Leong Bank

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 24 Jan - Hong Leong Bank Bhd (HLB) menjangkakan pertumbuhan sederhana sekitar 4.5%-5% untuk ekonomi Malaysia tahun ini, disokong oleh asas ekonomi yang kukuh dan peningkatan pelaburan asing.

 

Bank itu berkata, pendorong pertumbuhan utama itu termasuk peningkatan semula pelancongan, inisiatif tenaga bersih di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga (NETR) dan momentum pembangunan kemudahan di Johor.

 

"Selain itu, kedudukan negara sebagai penggiat berkecuali dalam ketegangan perdagangan global akan turut melonjakkan tarikannya di mata pelabur yang mahukan kestabilan dan kepebagaian," jelas HLB dalam perkongsian prospek ekonomi dengan pelanggan, penganalisis dan media di Simposium Perdana Kekayaan HLB 2025, baru-baru ini.

 

Ketua Bahagian Pengurusan Kekayaan Serantau HLB, Jeffrey Yap menekankan komitmen bank sebagai rakan boleh diyakini dalam pengurusan kekayaan, menyokong matlamat kewangan pelanggan membabitkan ruang lingkup dinamik global.

 

Beliau berkata, landskap pengurusan kekayaan juga berkembang pesat dengan rumusan yang dijana kecerdasan buatan (AI), kebolehcapaian mudah alih serta akses kepada maklumat yang mengubah kaedah atau cara orang ramai melabur.

 

"Di HLB, kami menerima perubahan ini untuk meningkatkan pengalaman anda, tetapi kami juga menyedari bahawa pengurusan kekayaan sebenar lebih daripada sekadar teknologi.

 

"Ia melibatkan pemahaman terhadap nilai, matlamat dan legasi anda. Pada masa depan, kami melihat diri kami sebagai rakan kongsi anda, memberi kuasa kepada anda untuk mencapai matlamat pelaburan sambil tetap setia memberikan panduan peribadi," katanya dalam satu kenyataan.

 

hlb

 

Pada simposium itu, HLB berpendapat, pasaran memasuki tahun 2025 dengan pandangan bercampur, yang dipimpin oleh pasaran Amerika Syarikat (AS), didorong oleh pendapatan korporat yang kukuh, perbelanjaan pengguna yang tahan lasak dan kemajuan dalam teknologi. 

 

Bagaimanapun, terdapat kebimbangan mengenai kemungkinan berlaku penurunan harga saham dan perlunya strategi pelaburan yang seimbang. 

 

Kebimbangan itu timbul kerana terdapat jangkaan yang sangat tinggi mengenai pertumbuhan pendapatan dan semangat berlebihan dalam kalangan pelabur runcit, yang mungkin menyebabkan ketidaktentuan dalam pasaran.

 

HLB turut menekankan AI yang dianggap sebagai 'sempadan seterusnya' dengan tumpuan kepada sekor tenaga, pengurusan kuasa dan pengkomputeran kuantum dijangka menjanjikan peluang besar pada masa hadapan.

 

Di luar AS, bank kekal berhati-hati terhadap Eropah, melihat tarif sebagai risiko utama untuk ekuiti Asia. 

 

Tidak seperti pada 2018, bank pusat Asia mungkin mempunyai ruang untuk mengurangkan kos pinjaman bagi menangani kesan tarif. 

 

Bagaimanapun, prestasi pasaran ekuiti China yang tidak konsisten menjadi cabaran kepada pelabur jangka panjang kerana ia bergelut dengan cabaran struktur seperti pertumbuhan kredit yang lemah, keyakinan pengguna yang suram dan sektor hartanah yang merosot, yang memerlukan campur tangan dasar agresif untuk menyelesaikannya.

 

Akhir sekali, dalam ruang pendapatan tetap, hasil bon masih menarik, dengan bon gred pelaburan AS menawarkan sekitar 5% secara purata, manakala pasaran baharu muncul menyediakan hasil yang lebih tinggi. 

 

Ekuiti swasta terus menjadi pilihan pertumbuhan jangka panjang yang kukuh, menjadikannya pilihan terbaik untuk perancangan persaraan atau membina kekayaan.

 

Simposium Kekayaan Tahunan itu memperlihatkan usaha HLB untuk meningkatkan keupayaan pengurusan kekayaannya, sebagai sebahagian daripada pelan peralihan seluruh bank. 

 

Simposium tahun ini menyaksikan bank tersebut membincangkan pandangan utama dan strategi bersama pakar dari Amundi Asset Management, J.P. Morgan Asset Management, PIMCO, BlackRock, Principal Asset Management dan Gaia Investment Partners. - DagangNews.com