KUALA LUMPUR 19 Mei — Ramssol Group Berhad mencatatkan keuntungan bersih RM7.94 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mac 2026, naik 35.8% berbanding RM5.85 juta pada tempoh sama tahun lalu.
Peningkatan prestasi ini didorong terutamanya oleh pertumbuhan dalam ketiga-tiga tonggak perniagaan teras kumpulan tersebut, khususnya melalui pengembangan operasi kukuh di seluruh pasaran Indonesia.
Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, kumpulan melaporkan hasil bagi suku itu meningkat kepada RM22.2 juta, iaitu kenaikan sebanyak 22.6% berbanding RM18.11 juta pada suku sama tahun sebelumnya.
"Jika dibandingkan dengan suku segera sebelumnya, Ramssol berjaya mencatatkan pemulihan signifikan daripada kerugian bersih RM2.57 juta kepada keuntungan bersih RM7.94 juta," tambah syarikat itu.
Perkembangan tersebut jelasnya, dipacu oleh hasil yang lebih kukuh dalam tempoh tinjauan, manakala mengulas mengenai prestasi mengikut segmen, PeopleTech menyumbang hasil sebanyak RM11.49 juta.
Sementara segmen AiTech mencatatkan pendapatan mencecah RM7.53 juta, didorong oleh pengembangan peluang secara luas berkaitan dengan teknologi kecerdasan buatan (AI) yang baharu di Indonesia.
Dalam pada itu, segmen AutoTech memacu pertumbuhan melalui permulaan operasi di Indonesia dengan penghantaran 500 motosikal elektrik untuk sebuah syarikat aplikasi terkemuka, Super di negara itu.
"Dari segi geografi pula, Malaysia kekal sebagai penyumbang paling besar dengan hasil keseluruhan iaitu RM13.76 juta, diikuti Thailand (RM5.04 juta) dan Indonesia (RM3.34 juta)," jelas Ramssol.
Melihat kepada prospek masa depan, kumpulan itu akan terus menumpukan strategi perniagaan kepada kecekapan operasi dan penyampaian rumusan digital yang lebih berkualiti di rantau Asia Tenggara.
Kumpulan berkenaan juga tambahnya, masih kekal optimis untuk menjana pertumbuhan mampan walaupun berdepan risiko luaran seperti turun naik pertukaran wang asing (forex) dan persaingan global.
Setakat 31 Mac 2026 ujarnya, kedudukan tunai dan setara tunai Ramssol berada pada paras sebanyak RM43.32 juta. - DagangNews.com
Pertumbuhan kukuh di pasaran Indonesia punca Ramssol kaut untung bersih RM7.9 juta bagi 1QFY26

Oleh AMREE AHMAD







