KUALA LUMPUR 19 Feb - Pertumbuhan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) negara pada 2024 memberi kesan langsung kepada rakyat meliputi kenaikan gaji, peluang pekerjaan berkualiti, peningkatan bantuan dan perlindungan sosial yang lebih baik serta pertumbuhan sektor perniagaan dan perdagangan.
Menteri Kewangan II, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, seperti mana yang diumumkan, Malaysia berjaya mencatatkan pertumbuhan KDNK benar 2024 pada 5.1% dengan KDNK suku kedua 2024 merupakan tahap pertumbuhan tertinggi iaitu pada 5.9%.
Beliau berkata, pada masa yang sama, pertumbuhan KDNK nominal untuk 2024 adalah 5.9%.
"Jika dibandingkan pertumbuhan KDNK benar 2023, ia hanya 3.6%. Pencapaian 5.1% ini melebihi unjuran asal Belanjawan 2024 antara 4% hingga 5%.
"Dengan asas ekonomi yang kekal mampan, prospek pertumbuhan diunjur terus positif antara 4.5% hingga 5.5% menunjukkan daya tahan ekonomi walaupun dalam persekitaran global yang mencabar," katanya ketika menggulung perbahasan Usul Menjunjung Kasih Titah Diraja bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Pada 2024 sekitar 127,000 peluang pekerjaan baharu dalam sektor swasta berjaya diwujudkan dengan kadar pengangguran berada pada paras rendah iaitu 3.2%.
Penggunaan swasta terus menjadi penyumbang utama KDNK iaitu sebanyak 60.7% didorong peningkatan permintaan barangan keperluan dan perkhidmatan manakala pelaburan mencatatkan pertumbuhan 12% berbanding 5.5% pada 2023, yang tertinggi sejak 2012.
Amir Hamzah berkata, peningkatan pelaburan swasta terutamanya dalam sektor teknologi tinggi seperti semikonduktor, digital dan tenaga boleh baharu menunjukkan keyakinan pelabur terhadap prospek ekonomi Malaysia seterusnya menyediakan pekerjaan berpendapatan tinggi kepada rakyat.
"Pertumbuhan KDNK bermakna hasil kerajaan bertambah, dan limpahan hasil ini membolehkan agihan lebih besar kepada rakyat.
"Agihan ini diterjemahkan melalui komitmen Kerajaan Madani melaksanakan dasar dan strategi berani untuk kesejahteraan rakyat termasuk penambahbaikan bantuan tunai, gaji bermaruah, perlindungan sosial serta pelaburan dalam infrastruktur asas seperti kesihatan, pendidikan, dan pengangkutan awam," katanya.
Dalam pada itu, Amir Hamzah berkata, pengukuhan indikator ekonomi momentum pertumbuhan KDNK negara diyakini berterusan dan akan memacu pertumbuhan tahun 2025 seperti mana diunjurkan, meskipun dalam persekitaran global yang mencabar.
Beliau berkata, sebagai negara yang mengamalkan dasar ekonomi terbuka, Malaysia terlibat secara langsung dalam rantaian bekalan global dan mengambil pendekatan neutral apabila berurusan dengan negara luar termasuk Amerika Syarikat (AS) dan China yang merupakan antara rakan dagang utama negara.
Katanya, dagangan dengan AS dan China masing-masing membentuk 11.3% dan 16.8% daripada jumlah dagangan Malaysia 2024.
"Dengan ketidaktentuan persekitaran perdagangan dunia, Malaysia secara aktif mempelbagaikan pasaran perdagangan dan pelaburan.
"Komitmen pelaburan langsung asing (FDI) menunjukkan momentum menggalakkan dari pelbagai sektor dan negara. Sebagai contoh, pusat data seperti Nvidia dan AWS dari Amerika Syarikat, syarikat elektronik Infineon dari Jerman dan NXP dari Belanda serta pelaburan automotif dari China.
"Kemasukan FDI tersebut menyumbang kepada pertumbuhan sektor pembinaan pada 2024 sebanyak 17.5% berbanding 6.1% pada 2023.
Sementara itu, Amir Hamzah berkata, dalam menjayakan sebarang pembaharuan fiskal termasuk mengurangkan kadar defisit, kerajaan tidak akan berkompromi dalam soal kebajikan dan kesejahteraan rakyat.
"Meskipun Kerajaan Madani bertekad mengurangkan defisit fiskal secara berperingkat, kerajaan terus menyediakan Belanjawan 2025 yang mengembang dan yang tertinggi pernah diumumkan.
"Walaupun defisit fiskal dikurangkan perbelanjaan untuk manfaat rakyat, kita dapat terus tingkatkan seperti bantuan tunai serta perbelanjaan ke atas pendidikan, kesihatan dan infrastruktur asas.
"Usaha mengurangkan defisit fiskal negara bukanlah bersifat memenuhi tuntutan segelintir pihak. Sebaliknya langkah ini bermatlamat memastikan pengurusan kewangan negara yang lebih mampan dan berdaya tahan bagi tempoh jangka panjang," katanya. - DagangNews.com








