KUALA LUMPUR 19 Ogos - Unjuran pertumbuhan ekonomi Malaysia antara 4% hingga 5% bagi 2026 kini dilihat semakin konservatif selepas ekonomi negara mencatat prestasi lebih baik daripada jangkaan pada separuh pertama tahun ini, kata ahli ekonomi Dr Geoffrey Williams.
Beliau berkata Malaysia menunjukkan daya tahan yang kukuh dan tidak berada dalam keadaan kemerosotan ekonomi meskipun berdepan ketidaktentuan geopolitik, disokong terutamanya oleh dasar kerajaan yang membantu melindungi pengguna serta perniagaan.
Menurutnya, kerajaan memberi tumpuan kepada usaha mengekalkan harga petrol dan diesel pada paras rendah sambil menyerap kesan fiskal, membolehkan pengguna dan perniagaan meneruskan aktiviti harian tanpa terlalu terkesan oleh krisis.
“Bagi separuh kedua tahun ini, saya tidak melihat sebarang sebab untuk berlaku kelembapan. Kita boleh menjangkakan momentum ini berterusan sehingga akhir tahun.
“Unjuran pertumbuhan Kementerian Kewangan antara 4% hingga 5% kini kelihatan konservatif. Kita berkemungkinan mencapai paras tertinggi dalam julat tersebut atau pertumbuhan ekonomi melebihi 5% bagi keseluruhan tahun,” katanya.
Williams berkata demikian ketika menyampaikan ucaptama pada Logistics Symposium 2026 di sini, hari ini.
Ekonomi berkembang 5.7% pada 1H26
Ekonomi Malaysia berkembang 5.7% pada separuh pertama 2026, didorong pertumbuhan sebanyak 5.4% pada suku pertama dan 6% pada suku kedua.
Prestasi itu disokong permintaan domestik yang kukuh serta pertumbuhan ketara dalam sektor perkhidmatan, pembuatan dan pembinaan.
Williams berkata prestasi tersebut menunjukkan ekonomi Malaysia kini berada dalam keadaan yang jauh lebih baik berbanding apa yang lazimnya dijangkakan berdasarkan analisis ekonomi ketika berdepan ketidaktentuan global.
“Kita sepatutnya berada dalam tempoh berhati-hati dan kelembapan, dengan orang ramai mengubah perancangan mereka.
“Namun sebenarnya, kita berada dalam keadaan di mana kita mengalami pertumbuhan ekonomi yang sangat tinggi pada separuh pertama dan pertumbuhan yang sangat baik dijangka pada separuh kedua serta bagi keseluruhan tahun,” katanya. - DagangNews.com








