Pertama Digital tunggu keputusan rayuan kepada Bursa Malaysia atau saham digantung 14 Nov ini | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pertama Digital tunggu keputusan rayuan kepada Bursa Malaysia atau saham digantung 14 Nov ini

Oleh Muhammad Iman

KUALA LUMPUR 7 Nov - Saham Pertama Digital Bhd akan digantung dagangan pada 14 November selepas penyedia perkhidmatan e-kerajaan itu gagal memenuhi tarikh akhir penyerahan pelan regularisasi yang ditetapkan.

 

Bursa Malaysia Securities memaklumkan Pertama Digital gagal menyerahkan pelan regularisasi tersebut menjelang tarikh akhir lanjutan pada 31 Oktober yang diberikan sebelum ini.

 

Pertama Digital dalam kenyataannya berkata syarikat telah mengemukakan rayuan pada 31 Oktober untuk mendapatkan lanjutan masa tambahan.

 

Penyahsenaraian sekuriti syarikat itu akan ditangguhkan sementara menunggu keputusan pengawal selia terhadap rayuan tersebut.

 

Sebelum ini, syarikat telah diberikan empat kali lanjutan tempoh untuk mengemukakan pelan regularisasi.

 

Bursa telah melanjurtkan tarikh akhir asal pada Ogos 2023 kepada Februari 2024, diikuti Ogos 2024, Februari 2025, dan akhirnya tarikh akhir Oktober 2025 yang telah luput.

 

Lanjutan itu diberikan tanpa menjejaskan hak Bursa Securities untuk menggantung dagangan atau menyahsenarai Pertama Digital sekiranya syarikat gagal menyerahkan pelan regularisasi dalam tempoh yang dilanjutkan, gagal mendapatkan kelulusan bagi pelaksanaan pelan, atau gagal melaksanakannya dalam tempoh yang ditetapkan.

 

Pertama Digital telah diklasifikasikan sebagai penerbit tersenarai terjejas pada Ogos 2022.

 

Status tersebut diberikan selepas syarikat mencetuskan perenggan 8.03A(2)(a)(b) dalam Keperluan Penyenaraian Pasaran Utama susulan penjualan perniagaan tekstilnya, Be Top Group Ltd, bernilai RM70 juta, sebagai sebahagian daripada langkah penstrukturan semula untuk memberi tumpuan kepada perkhidmatan digital.

 

Langkah itu, yang melibatkan pelupusan perniagaan utama di bawah peraturan penyenaraian bursa, memerlukan syarikat mengemukakan pelan regularisasi.

 

Urus niaga D-Ron

Pada Mac 2025, Pertama Digital mengumumkan rancangan untuk memperoleh 80% pegangan dalam dua syarikat pengedar perkakasan teknologi maklumat dan pengawasan, D-Ron Singapore Pte Ltd dan D-Ron Malaysia Sdn Bhd, dengan nilai tunai RM106.12 juta.

 

Pemerolehan yang diselesaikan awal tahun ini merupakan sebahagian daripada pelan regularisasi yang belum dikemukakan, menurut kenyataan syarikat sebelum ini.

 

Di bawah perjanjian tersebut, para vendor — Ronnie Hun Tock Juan, Healin Tay Siang Yuan dan Kelvin Lim Ken Neth — menjamin keuntungan terkumpul sebanyak RM32.56 juta (S$9.79 juta) bagi tahun kewangan 2025 dan 2026.

 

Saham Pertama Digital ditutup tidak berubah pada 11 sen, memberikan nilai pasaran sebanyak RM46.35 juta. - DagangNews.com