KUALA LUMPUR 27 Ogos – Pertama Digital Bhd mengumumkan pertukaran kepimpinan susulan peletakan jawatan pengerusinya, Datuk Ahmad Nazri Abdullah.
Menurut syarikat itu, Ahmad Nazri mengambil keputusan untuk berundur bagi memberi tumpuan kepada komitmen peribadi serta usaha lain selepas memainkan peranan penting membimbing Pertama Digital melalui fasa transformasi.
Pertama Digital dalam kenyataan hari ini berkata, bekas Ketua Hakim Negara, Tun Zaki Azmi akan kembali menyertai syarikat sebagai pengerusi baharu.
“Tun Zaki sebelum ini pernah menerajui lembaga pengarah dengan penuh keteguhan sebelum berundur bagi memberi perhatian kepada tanggungjawab lain yang penting,” jelas syarikat itu.
Ahmad Nazri pula menzahirkan keyakinan bahawa Pertama Digital akan terus berkembang maju di bawah pimpinan Zaki bersama pasukan pengurusan.
Kepulangan semula Zaki dilihat sebagai satu langkah strategik pada masa kritikal ini ketika Pertama Digital mempercepatkan misi menawarkan penyelesaian digital inklusif yang berteraskan rakyat.
“Pengalaman luas Tun Zaki dalam bidang tadbir urus, perundangan dan pembangunan negara akan memperkukuh komitmen syarikat terhadap kepimpinan berwibawa, kesinambungan serta penciptaan nilai jangka panjang untuk pemegang saham dan pihak berkepentingan,” tambah kenyataan itu. - DagangNews.com








