KUALA LUMPUR 17 Dis – Pelaksanaan penguatkuasaan terhadap kesalahan berat lebih muatan perlu dilaksanakan secara berperingkat, praktikal dan selari dengan tahap kesiapsiagaan industri bagi mengelakkan gangguan besar kepada rantaian logistik dan perdagangan negara, kata Persatuan Pengusaha Lori Malaysia (AMH).
Dalam satu kenyataan, AMH menegaskan isu berat lebih muatan merupakan masalah struktur yang telah lama wujud dalam ekosistem logistik dan pengangkutan, dengan implikasi serius terhadap keselamatan jalan raya, kerosakan infrastruktur awam, kelestarian alam sekitar serta persaingan tidak seimbang dalam industri.
Menurut AMH, kawalan yang berkesan terhadap amalan berat lebih muatan dalam jangka panjang berpotensi mewujudkan industri pengangkutan yang lebih berdisiplin, patuh peraturan dan mampan, di samping melindungi pengusaha lori yang mematuhi undang-undang tetapi sering berada pada kedudukan tidak adil akibat amalan tidak bertanggungjawab pihak tertentu.
Setiausaha AMH Mohamad Azuan Masud berkata keberkesanan penguatkuasaan sangat bergantung kepada kaedah pelaksanaan yang adil serta mengambil kira realiti operasi di lapangan.
“Penguatkuasaan yang dilaksanakan tanpa persediaan mencukupi berisiko menyebabkan gangguan operasi di pelabuhan, depot dan koridor logistik utama, sekali gus menjejaskan kecekapan rantaian bekalan serta aliran perdagangan negara,” katanya.
Menurut beliau, AMH telah terlibat secara aktif dalam perbincangan berkaitan penguatkuasaan berat lebih muatan sejak peringkat awal, termasuk melalui Mesyuarat Pasukan Petugas Logistik Kebangsaan (NLTF), perbincangan teknikal serta sesi libat urus bersama kementerian dan agensi berkaitan.
Katanya, sepanjang proses tersebut, AMH mengambil pendekatan konstruktif dengan mengemukakan maklum balas berdasarkan keadaan sebenar industri, termasuk cabaran yang dihadapi pengusaha lori dalam usaha mematuhi keperluan penguatkuasaan.
AMH turut menjelaskan industri kini berdepan beberapa kekangan utama yang perlu ditangani segera, antaranya kelewatan proses naik taraf BGK/BDM susulan kesesakan di peringkat JPJ Negeri, JPJ Putrajaya, APAD dan Puspakom, yang menyebabkan tempoh pematuhan menjadi jauh lebih panjang daripada jangkaan asal.
Selain itu, menurut kenyataan itu, kekangan pentadbiran seperti keperluan dokumen pendaftaran kenderaan asal (geran) serta tempoh sah kelulusan tertentu yang terhad turut menjejaskan kelancaran proses pematuhan.
AMH berkata, dalam operasi kontena pula, pengusaha lori mempunyai kawalan yang sangat terhad terhadap berat dan keputusan pemuatan kargo, sedangkan liabiliti penguatkuasaan sering tertumpu kepada pihak pengangkut.
“Dengan penaiktarafan BGK/BDM, pengusaha lori sebenarnya mampu memenuhi keperluan Berat Kasar Disahkan (VGM) selaras dengan piawaian antarabangsa industri perkapalan global, namun proses ke arah itu perlu diselaraskan dengan lebih cekap,” kata Mohamad Azuan.
Sehubungan itu, AMH menggariskan beberapa pertimbangan utama, termasuk keperluan tempoh peralihan yang realistik sebelum penguatkuasaan penuh dilaksanakan, penstrukturan semula segera bagi mengurangkan kesesakan proses naik taraf BGK/BDM serta pendekatan penguatkuasaan yang seimbang agar pengusaha lori tidak dipersalahkan atas faktor di luar kawalan mereka.
AMH turut menekankan tanggungjawab terhadap isu berat lebih muatan perlu dikongsi bersama oleh semua pihak dalam rantaian logistik, termasuk penghantar, pengirim dan penerima kargo, bagi memastikan keadilan dan keberkesanan pelaksanaan.
“Penguatkuasaan yang berasaskan akauntabiliti bersama dan dialog berterusan dengan pemain industri akan memastikan matlamat keselamatan dan pematuhan tercapai tanpa menjejaskan kelangsungan operasi yang sah,” kata Mohamad Azuan.
Menurut AMH, kerjasama berterusan dengan Kementerian Pengangkutan dan agensi berkaitan amat penting bagi memastikan penguatkuasaan berat lebih muatan mencapai objektifnya tanpa membawa kesan tidak diingini kepada pengusaha patuh atau menjejaskan kedudukan Malaysia sebagai hab logistik dan perdagangan yang berdaya saing. - DagangNews.com








