Permintaan tinggi pusat data dorong lonjakan sektor hartanah industri 2025 - BIMB Securities | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan tinggi pusat data dorong lonjakan sektor hartanah industri 2025 - BIMB Securities

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 12 Mac - Sektor hartanah industri dijangka mengalami lonjakan ketara tahun ini, didorong oleh permintaan tinggi dari industri teknologi tinggi dan pusat data.

 

Menurut BIMB Research, lokasi strategik seperti Johor dan Selangor akan menarik pelaburan besar, dengan syarikat-syarikat seperti Mah Sing Group Bhd dan Sime Darby Property Bhd telah memanfaatkan trend itu melalui projek pusat data berskala besar.

 

"Momentum ini akan menjadikan hartanah industri sebagai aset yang sangat dicari pada tahun 2025," jelas firma penyelidikan tersebut dalam satu nota kajian.

 

Sementara itu, Maybank Investment Bank (Maybank IB) Research berkata, pengenalan semula koridor pembangunan Malaysia Vision Valley 2.0 (MVV 2.0) di Negeri Sembilan pada Disember lalu dijangka membentuk semula landskap pelaburan industri.

 

Katanya, MVV 2.0 adalah tambahan kepada pusat-pusat ekonomi dan pembangunan di Malaysia seperti Iskandar Malaysia, Selangor, Pulau Pinang dan Kulim.

 

Jelas Maybank IB Research, walaupun MVV 2.0 menawarkan peluang baharu untuk pemaju dan pemilik tanah, ia meningkatkan persaingan kerana pelabur mempunyai lebih banyak pilihan dan negeri-negeri menawarkan pelbagai insentif.

 

"Kami percaya Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ) akan terus menarik perhatian kerana kedudukannya yang strategik berhampiran Singapura dan kemudahan yang kukuh, termasuk Pelabuhan Tanjung Pelepas dan Sistem Transit Rapid Johor-Baru-Singapura yang akan siap pada 2027.

 

"Kami menjangka lebih banyak taman industri akan dilancarkan pada tahun-tahun akan datang oleh negeri-negeri lain seperti Taman Teknologi Hijau Bersepadu Kerian di Perak dan Taman Industri Penang Development Corp-SP Setia di Kepala Batas," kata Maybank IB Research.

 

Firma penyelidikan tersebut berkata, ia mengesyorkan pelabur memberi tumpuan kepada stok hartanah yang mempunyai pendedahan kepada hartanah industri, disokong oleh projek bandar yang berdaya tahan.

 

Selain itu katanya, tumpuan juga perlu diberikan kepada syarikat-syarikat dengan asas kewangan yang kukuh dan rekod prestasi yang terbukti, di tengah-tengah pasaran yang tidak menentu dan persekitaran yang penuh risiko.

 

Maybank IB Research kekal neutral terhadap prospek sektor hartanah secara keseluruhan, dengan saranan 'beli' ke atas SP Setia Bhd, Sime Darby Property dan Eco World Development Group Bhd.

 

"Kami juga menetapkan saranan 'beli' taktikal terhadap UEM Sunrise Bhd disokong oleh pembangunan JS-SEZ, walaupun risiko pelaksanaan dan jangkaan tinggi pelabur kekal menjadi kebimbangan utama," tambahnya.

 

BIMB Research pula memberikan saranan 'lebih berat' terhadap sektor hartanah, dengan mengatakan pasaran hartanah dijangka mengalami tahun yang 'meriah dan menjanjikan' di pelbagai segmen.

 

Ia menjangka pasaran hartanah akan kekal berdaya tahan, didorong oleh insentif perumahan mampu milik, peningkatan pendapatan boleh guna, pertumbuhan kukuh dalam hartanah industri dan projek kemudahan yang berterusan.

 

"Kami cenderung menyokong pemaju dengan sejarah jualan yang kukuh, jenama yang terkenal, pegangan tanah yang besar di lokasi yang diingini dan keupayaan untuk menguruskan tanah serta kos dengan berkesan," kata firma penyelidikan tersebut.

 

Ia menambah, pada tahun 2024, semua stok hartanah yang berada dalam liputan mereka memenuhi jangkaan setahun penuh dan mencatatkan pertumbuhan pendapatan dua angka secara positif berbanding tahun sebelumnya.

 

Pertumbuhan pendapatan yang kukuh itu didorong oleh jualan hartanah yang kuat dan kemajuan ketara dalam projek pembinaan. - DagangNews.com