Permintaan produk penebat terus meningkat, untung bersih PGF Capital meningkat 20% pada suku pertama | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Permintaan produk penebat terus meningkat, untung bersih PGF Capital meningkat 20% pada suku pertama

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 28 Julai – PGF Capital Bhd memulakan tahun kewangan 2027 dengan prestasi memberangsangkan apabila mencatat peningkatan keuntungan bersih sebanyak 20.05% kepada RM8.95 juta bagi suku pertama berakhir 31 Mei 2026 berbanding RM7.46 juta dalam tempoh sama tahun sebelumnya.

 

Peningkatan itu disokong oleh permintaan yang kekal stabil terhadap produk penebat dan mengukuhkan kedudukan segmen tersebut sebagai penyumbang utama kepada prestasi kewangan syarikat.

 

Dalam makluman kepada Bursa Malaysia, PGF Capital berkata hasil bagi suku berkenaan turut meningkat 7.76% kepada RM43.74 juta berbanding RM40.58 juta setahun lalu dengan sebanyak 99.6% daripada jumlah itu disumbangkan oleh perniagaan penebat.

 

Bagaimanapun, syarikat tidak mengumumkan sebarang pembayaran dividen bagi suku pertama tahun kewangan 2027.

 

Prospek Perniagaan Penebat Terus Positif

PGF Capital menjangkakan segmen penebat akan terus menjadi pemacu utama pendapatannya, disokong oleh permintaan yang semakin meningkat hasil pelaksanaan peraturan pembinaan yang lebih ketat di pasaran Oceania seperti Australia dan New Zealand.

 

Selain itu, syarikat berpandangan dasar berkaitan kecekapan tenaga serta mekanisme penetapan harga karbon yang sedang berkembang di Malaysia dijangka meningkatkan lagi penggunaan bahan penebat dalam sektor pembinaan bagi mengurangkan penggunaan tenaga dan pelepasan karbon.

 

Dalam usaha memenuhi permintaan yang semakin meningkat, PGF Capital berkata kilang baharu berkapasiti 40,000 tan di Kedah kini menghampiri fasa siap sepenuhnya dan dijadual memulakan operasi pada suku ketiga tahun kewangan 2027.

 

Menurut syarikat, kemudahan baharu itu akan meningkatkan kapasiti pengeluaran secara signifikan sekali gus memperkukuh keupayaannya memenuhi permintaan daripada pasaran tempatan dan luar negara.

 

Pada masa sama, PGF Capital terus memperkukuh agenda kelestariannya menerusi penggunaan cermin hadapan kenderaan berlamina yang dikitar semula sebagai bahan mentah bagi menghasilkan ‘glass wool’ sekali gus mengurangkan kebergantungan terhadap sumber bahan mentah semula jadi.

 

Syarikat itu turut meneroka peluang mengitar semula panel solar yang telah tamat tempoh sebagai sumber tambahan sisa kaca bagi kegunaan pengeluaran pada masa hadapan.

 

Projek Hartanah Masih Dalam Peringkat Pembangunan

Selain perniagaan penebat, syarikat turut meneruskan pembangunan dalam segmen hartanah, namun belum merekodkan sebarang jualan setakat suku pertama tahun kewangan 2027.

 

PGF Capital berkata, projek usaha sama bersama Nexel Development KHTP Sdn Bhd di Kulim Hi-Tech Park kini sedang mengemukakan semula pelan pembangunan komprehensif berikutan peningkatan permintaan terhadap pembangunan kediaman berorientasikan gaya hidup di kawasan berkenaan.

 

Dalam perkembangan lain, projek pembangunan bersama Malvest Properties Sdn Bhd di Tanjung Malim turut menunjukkan kemajuan apabila kerja-kerja infrastruktur utama sedang menunggu proses untuk dimuktamadkan sebelum fasa seterusnya dapat diteruskan. - DagangNews.com