KUALA LUMPUR 20 Jun - Permintaan produk pembungkusan plastik Thong Guan Industries Berhad diramal lemah disebabkan saingan sengit di peringkat global serta ketidaktentuan dasar tarif Amerika Syarikat (AS), kata Kenanga Research.
Katanya, jualan bagi filem pembungkusan termasuk eksport di Eropah meningkat antara 5% ke 7% tetapi purata harga jualan (ASP) menurun.
Firma penyelidikan itu berkata, bagi mengurangkan kos, kumpulan itu sedang memindahkan sebahagian daripada operasinya di kawasan seluas 4.04 hektar di Semarang, Indonesia yang memiliki status Zon Ekonomi Khas (SEZ).
"Langkah ini bertujuan memanfaatkan kos buruh yang lebih rendah di Indonesia serta tarif elektrik yang kira-kira 40% lebih murah. Operasi dijangka bermula dalam tahun kewangan 2026 (FY26)," katanya dalam satu nota kajian.
Kenanga Research berkata, segmen hartanah akan memulakan kerja-kerja pembinaan bagi projek baharu pada separuh kedua FY25 dan ia diramal mula menyumbang keuntungan secara progresif bermula FY26 dan seterusnya.
Katanya, tempoh siap projek dianggarkan sekitar tiga tahun dan hasil daripada pembangunan hartanah itu akan membantu mengimbangi kehilangan pendapatan daripada segmen makanan dan minuman (F&B) untuk beberapa tahun akan datang.
Firma penyelidikan itu menyukai Thong Guan disebabkan usahanya yang agresif untuk menembusi pasaran luar negara menerusi produk mesra alam dan berprestasi tinggi selain rancangan pengembangannya untuk produk premium termasuk filem regangan nano, pembanlut makanan dan beberapa jenis beg industri
"Walaupun pertumbuhan eksport dan produk premium mungkin terganggu oleh ketidaktentuan tarif serta kelembapan ekonomi global dalam tempoh 6 hingga 18 bulan akan datang, ia tetap menjadi kekuatan daya saing utama bagi kumpulan.
"Kami mengekalkan saranan "outperform" dengan harga sasaran (TP) RM1.44 sesaham," katanya.- DagangNews.com








