KUALA LUMPUR 17 Jun - Permintaan gas asli cecair (LNG) di Asia Tenggara termasuk Malaysia, Brunei, Filipina dan Thailand dijangka terus meningkat berterusan sehingga tahun 2035.
Ketua Pegawai Eksekutif Shell, Wael Sawan berkata, peningkatan itu didorong oleh permintaan tenaga yang tinggi hasil pertumbuhan pusat data dan penggunaan kecerdasan buatan (AI).
Jelas beliau, LNG akan menjadi sumber tenaga yang penting kerana ia lebih stabil, terutamanya ketika berlaku ketidaktentuan geopolitik.
"Kami jangka permintaan terhadap LNG akan meningkat kira-kira 3% setahun, manakala permintaan gas secara keseluruhan naik 0.8% setahun.
"LNG dijangka menjadi sumber tenaga utama dalam beberapa tahun akan datang," katanya seperti laporan Bernama.
Beliau berkata demikian pada sesi dialog 'Peranan Gas dan LNG dalam Peralihan Tenaga Asia' sempena Energy Asia 2025 di sini, hari ini.
Menurut Agensi Tenaga Antarabangsa (IEA), pengeluaran gas di Asia Tenggara dijangka turun sekitar 20%.
Kekurangan tersebut kemungkinan besar akan ditampung oleh LNG kerana kebanyakan kemudahan tenaga di rantau ini menggunakan gas.
Shell turut menyatakan komitmennya dalam peralihan tenaga dengan memperuntukkan kira-kira RM84.81 bilion untuk membangunkan rumusan tenaga rendah karbon.
Sementara itu, Ketua Pegawai Eksekutif Global Jera Co Inc, Yukio Kani berkata, beberapa lokasi di Teluk Tokyo, Jepun telah dikenal pasti untuk projek penangkapan dan penyimpanan karbon (CCS).
Katanya, Jera dan Petronas sudah mengumumkan kerjasama kajian bersama berkaitan CCS rentas sempadan.
"Jera memiliki empat terowong LNG dan 16 loji jana kuasa gas di Teluk Tokyo. Projek tenaga angin luar pesisir kami juga dijangka mula beroperasi sekitar tahun 2030," ujarnya.
Tahun lalu, anak syarikat Petronas, Petronas CCS Solutions Sdn Bhd menandatangani perjanjian kajian bersama Jera untuk menilai keseluruhan proses CCS.
Ia merangkumi pemisahan dan penangkapan karbon dioksida (CO₂) oleh Jera di Jepun, penghantaran rentas sempadan, serta penyimpanan CO₂ di Malaysia.
Perjanjian berkenaan dijangka mengukuhkan kerjasama antara kedua-dua pihak dan membantu membina rangkaian global bagi pengangkutan dan penyimpanan karbon merentas negara.
Inisiatif tersebut juga dilihat sebagai langkah penting untuk mengurangkan pelepasan gas rumah hijau di rantau Asia Pasifik, khususnya di Malaysia dan Jepun. - DagangNews.com








