KUALA LUMPUR 20 Jun - Perluasan skop cukai perkhidmatan dan jualan (SST) bermula 1 Julai 2025 dipercayai hanya memberi kesan kecil kepada sektor automotif Malaysia, kata CIMB Securities.
Firma penyelidikan itu berkata, keadaan itu adalah kerana jualan kenderaan sudah dikenakan cukai jualan sebanyak 10%, manakala perkhidmatan penyelenggaraan dan pembaikan dikenakan cukai perkhidmatan sebanyak 8%.
“Walaupun begitu, mungkin terdapat sedikit peningkatan dalam kos sewa bilik pameran dan pengedar disebabkan langkah ini, namun kami percaya kesannya adalah minimum.
“Secara tidak langsung, sentimen pengguna yang lebih lemah boleh menjejaskan jualan kenderaan baharu pada separuh kedua tahun 2025,” katanya dalam satu nota kajian.
CIMB Securities berkata, Persatuan Automotif Malaysia (MAA) meramalkan penurunan sebanyak 4.5% dalam jumlah keseluruhan industri (TIV) kepada 780,000 unit pada 2025. disebabkan permintaan kembali normal dan pengurangan tunggakan pesanan industri.
Firma penyelidikan itu berkata, MAA turut menekankan ketidaktentuan ekonomi global dan diburukkan lagi oleh ketegangan perdagangan AS-China.
Selain itu, kerajaan telah menangguhkan pelaksanaan pengiraan Nilai Pasaran Terbuka (OMV) yang disemak semula dari Januari 2025 ke Januari 2026.
CIMB Securities melihat penangguhan itu sebagai satu perkembangan positif jangka pendek bagi sektor ini, memandangkan formula OMV baharu berpotensi meningkatkan harga jualan purata bagi kenderaan pemasangan tempatan antara 10% hingga 30% berdasarkan anggaran MAA.
Katanya, penurunan sebanyak 7% dalam jumlah TIV kepada 760,000 unit, disebabkan cabaran seperti rancangan penyasaran semula subsidi petrol RON95 pada separuh kedua 2025.
“Walaupun begitu, kami menjangkakan permintaan dalam segmen bawah RM100,000 kekal kukuh, disokong jenama nasional dan beberapa model dari Jepun.
“Rancangan kerajaan yang digariskan dalam Belanjawan 2025 untuk mengekalkan subsidi bagi sekurang-kurangnya 85% pengguna RON95 seharusnya dapat mengurangkan kesan dan menyokong kemampuan dalam segmen pasaran massa.
"Kami menjangkakan jenama nasional akan terus menguasai 64.5% pegangan pasaran pada 2025, manakala jenama bukan nasional menyumbang baki 35.5%," katanya.
Selain itu, CIMB Securities percaya, pemansuhan subsidi bahan api boleh mempercepatkan lagi penerimaan kenderaan elektrik (EV).
Firma tersebut juga menjangkakan lonjakan permintaan EV berpotensi berlaku pada suku keempat tahun 2025, apabila pembeli berlumba-lumba untuk menikmati penjimatan cukai.
Pengecualian duti sepenuhnya bagi EV import dijadual tamat pada akhir tahun 2025, dan kerajaan dijangka tidak akan melanjutkan insentif tersebut selepas tarikh akhir 31 Disember 2025.
CIMB Securities mengekalkan penarafan “neutral” terhadap sektor automotif disebabkan unjuran pertumbuhan yang perlahan disebabkan persaingan pasaran yang semakin sengit. - DagangNews.com








