Perluasan SST diunjur beri kesan minimum terhadap inflasi 2025, kata RHB Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perluasan SST diunjur beri kesan minimum terhadap inflasi 2025, kata RHB Research

Oleh NUR 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 20 Jun – Peluasan cukai jualan dan perkhidmatan (SST) yang akan berkuat kuasa mulai 1 Julai ini dijangka memberi kesan minimum terhadap kadar inflasi negara, kata RHB Research.

 

Firma penyelidikan itu menganggarkan impak SST terhadap inflasi bagi separuh kedua 2025 sekitar 0.3% secara tahunan, dengan purata inflasi setahun diunjur pada kadar 2%.

 

"Secara keseluruhan, purata inflasi dijangka 1.7% bagi tahun 2025 susulan peluasan SST, berbanding 1.6% sekiranya tiada sebarang penyesuaian fiskal," kata RHB Research dalam nota kajiannya sambil mengekalkan unjuran indeks harga pengguna (CPI) pada 2.2%.

 

RHB Research menjelaskan, peluasan cukai itu disasarkan kepada barangan dan perkhidmatan tidak penting seperti barangan mewah, hiburan dan perkhidmatan gaya hidup tertentu, dan tidak melibatkan keperluan asas seperti makanan, penjagaan kesihatan, dan utiliti asas.

 

Peluasan SST dijangka menyumbang sekitar RM5 bilion kepada hasil kerajaan pada separuh kedua 2025, dan mencecah RM10 bilion sepanjang tahun tersebut.

 

Firma penyelidikan itu berkata, anggaran tersebut dimodelkan berdasarkan komposisi CPI Malaysia, dengan memastikan barangan asas seperti makanan, utiliti, dan pengangkutan awam terus dikecualikan daripada cukai.

 

RHB Research juga mengekalkan unjuran pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) 2025 pada 4.5%, sambil menyifatkan sasaran defisit fiskal sebanyak 3.8% daripada KDNK sebagai realistik.

 

Inisiatif itu dijangka membantu kerajaan mencapai sasaran defisit lebih rendah sebanyak 3% daripada KDNK menjelang 2026.

 

Secara keseluruhan, peluasan SST yang dilaksanakan secara berhemah  mencerminkan usaha seimbang kerajaan untuk memperkukuh kedudukan fiskal secara mampan tanpa menjejaskan ekonomi dan kebajikan pengguna.- DagangNews.com