KUALA LUMPUR 30 Jun – Kerajaan mengecualikan perkhidmatan rawatan kuku, muka dan gunting rambut daripada cukai jualan dan perkhidmatan (SST) mulai 1 Julai ini, susulan kebimbangan dan maklum balas orang ramai.
Kementerian Kewangan berkata, langkah itu bertujuan mengurangkan kesan SST terhadap rakyat dan perniagaan kecil.
Turut dikecualikan cukai jualan ialah buah-buahan import terpilih seperti epal, oren, limau mandarin dan kurma.
Keputusan itu dibuat Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan, Datuk Seri Anwar Ibrahim selepas mengambil kira sentimen rakyat menjelang pelaksanaan SST.
Sementara itu, Ketua Setiausaha Perbendaharaan, Datuk Johan Mahmood Merican berkata, pembelian emas tidak akan dikenakan SST.
"Emas memainkan peranan penting dalam pelbagai komuniti dan sering dijadikan hadiah simbolik semasa peristiwa penting seperti kelahiran atau majlis perkahwinan," katanya semasa siaran langsung TikTok Kementerian Kewangan bertajuk 'SST Naik, Semua Harga Pun Naik?'.
Walaupun epal dan oren tidak ditanam di Malaysia, buah-buahan tersebut merupakan sebahagian daripada kehidupan harian rakyat.
"Buah tempatan seperti pisang kekal dikecualikan cukai, manakala buah import seperti strawberi, beri biru, dan avocado dianggap barangan pilihan dan akan terus dikenakan cukai," tambah beliau.
Sebelum ini, pengusaha salun rambut dan kecantikan menyuarakan kebimbangan cukai ke atas perkhidmatan mereka akan membebankan perniagaan kecil dan pengguna berpendapatan rendah.
Bagi mengurangkan beban perniagaan kecil, had jualan tahunan untuk pendaftaran wajib SST bagi perkhidmatan sewaan, pajakan, dan kewangan dinaikkan daripada RM500,000 kepada RM1 juta.
Ini bermakna hanya syarikat yang menjana jualan melebihi RM1 juta setahun daripada perkhidmatan tersebut diwajibkan mengenakan cukai 8%.
Kementerian turut mengingatkan orang ramai dan pihak berkepentingan supaya merujuk maklumat sahih berkenaan pelaksanaan SST melalui laman web rasmi Kementerian Kewangan dan Jabatan Kastam Diraja Malaysia.- DagangNews.com








