KUALA LUMPUR 5 Nov – Tanpa Perjanjian Perdagangan Timbal Balas (ART) antara Malaysia dan Amerika Syarikat, produk Malaysia berisiko dikenakan tarif timbal balas yang tinggi antara 24% hingga 50% atau lebih, tanpa pengecualian termasuk terhadap eksport penting seperti semikonduktor dan farmaseutikal bernilai RM56.2 bilion pada 2024, menurut Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (Matrade).
Dalam satu kenyataan, agensi promosi perdagangan nasional di bawah Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) itu berkata, ia menyambut baik ART, yang disifatkan sebagai satu perjanjian yang “mewujudkan hubungan perdagangan yang adil, seimbang dan saling menguntungkan” antara kedua-dua negara.
Bertentangan dengan kebimbangan bahawa ART boleh menjejaskan perniagaan tempatan dan Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), Matrade menjelaskan bahawa pengurangan tarif ke atas 98.4% barangan dari AS tidak akan memberi kesan besar kerana Malaysia belum menghapuskan sepenuhnya duti import.
“Purata duti import ke atas barangan AS masih sekitar 7%, dengan lebih separuh daripada jumlah import sudah pun bebas cukai,” katanya.
Tambah Matrade, pengurangan duti itu hanya melibatkan barangan terpilih dari AS dan akan dilaksanakan secara berperingkat sehingga sembilan tahun, manakala produk yang sebelum ini dikenakan tarif tinggi sehingga 60% akan mengekalkan kadar sederhana antara 5% hingga 15%.
Matrade menjelaskan, barangan dari AS secara amnya lebih mahal kerana kos pengeluaran dan penghantaran yang tinggi, sekali gus mengekalkan daya saing produk tempatan di pasaran domestik.
“Kegagalan memeterai perjanjian ini boleh menjejaskan sektor industri utama Malaysia seperti elektrikal dan elektronik, aeroangkasa, getah, koko dan farmaseutikal, di samping mengancam berjuta-juta pekerjaan, ribuan PKS, serta kesinambungan ekonomi yang akhirnya boleh membawa kepada penutupan perniagaan dan kehilangan pendapatan,” katanya.
Agensi itu menambah, perjanjian tersebut turut memberikan pengecualian tarif 19% kepada 1,711 barisan produk eksport Malaysia termasuk minyak sawit dan produk berasaskan sawit, barangan getah, koko, komponen pesawat dan farmaseutikal bernilai AS$5.2 bilion, iaitu kira-kira 12% daripada jumlah eksport Malaysia ke AS pada 2024.
Matrade berkata, ART memberikan kepastian tarif timbal balas yang lebih rendah pada kadar 19%, berbanding kadar asal yang dicadangkan sebanyak 25%.
“Ini membolehkan peningkatan daya saing harga dan kestabilan struktur kos bagi pengeksport, sekali gus membuka ruang kepada pertumbuhan eksport yang lebih tinggi, khususnya dalam sektor yang dikecualikan daripada tarif timbal balas,” katanya.
Menurut Matrade, persekitaran perdagangan yang lebih stabil dan boleh dijangka di bawah ART telah diterima baik oleh komuniti perniagaan dan pengeksport.
Matrade menegaskan, ART merupakan langkah penting dalam memperkukuh kedudukan Malaysia di pasaran global dengan menjamin akses yang adil dan stabil ke pasaran AS.
“Dengan memastikan kestabilan perdagangan, perjanjian ini bukan sahaja melindungi industri dan pekerjaan tempatan tetapi juga menggalakkan pengeksport Malaysia menjadi lebih berdaya saing dan inovatif, selaras dengan piawaian antarabangsa termasuk aspek persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG),” katanya.
Secara keseluruhan, Matrade berkata ART bertindak sebagai pemangkin untuk meningkatkan kualiti produk, amalan kelestarian dan kredibiliti global eksport Malaysia.
Selain pelepasan tarif, perjanjian itu turut memperkukuh kepastian peraturan dan daya tahan rantaian bekalan melalui kerjasama lebih mendalam dalam aspek pemudahan perdagangan.
“Ini memperkukuh reputasi Malaysia sebagai hab pengeluaran dan sumber yang dipercayai bagi syarikat-syarikat AS, sekali gus memberi kelebihan daya saing yang ketara kepada firma Malaysia dalam rantau ASEAN,” jelasnya. - DagangNews.com








