Perjanjian LNG Petronas-Woodside kukuhan jaminan tenaga negara, bukan keuntungan semata-mata, kata penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perjanjian LNG Petronas-Woodside kukuhan jaminan tenaga negara, bukan keuntungan semata-mata, kata penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 17 Sept - Perjanjian jangka panjang Petroliam Nasional Bhd (PETRONAS) untuk membeli gas asli cecair (LNG) daripada Woodside Energy Group Ltd Australia dijangka tidak memberi impak besar kepada trajektori pendapatan syarikat minyak negara itu.

 

Namun begitu, pemerhati industri menyifatkan perjanjian yang dianggarkan bernilai antara AS$7 bilion hingga AS$9 bilion itu sebagai langkah signifikan dalam usaha menjamin keselamatan tenaga Malaysia ketika era peralihan tenaga.

 

“Perjanjian PETRONAS dengan Woodside bukan semata-mata untuk menambah keuntungan, tetapi lebih kepada perlindungan jangka panjang. Di sebalik nilai pada pengumuman tu, kepentingan sebenar terletak pada jaminan bekalan,” kata seorang pemerhati industri.

 

“Ini berkaitan dengan usaha memastikan keselamatan tenaga Malaysia semasa tempoh peralihan. Gas akan kekal sebagai bahan api peralihan utama sementara negara meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu,” tambahnya.

 

Minggu lalu, PETRONAS memeterai perjanjian selama 15 tahun untuk membeli LNG daripada Woodside, di mana ia akan mengimport satu juta tan LNG setiap tahun bermula 2028.

 

ARTIKEL BERKAITAN: Woodside bekal LNG ke Malaysia selama 15 Tahun menerusi perjanjian dengan PETRONAS

 

Berdasarkan harga semasa pasaran spot LNG iaitu antara AS$10 hingga AS$12 bagi setiap juta unit termal British (MMBtu), nilai tahunan kontrak tersebut dianggarkan sekitar AS$500 juta hingga AS$600 juta — menjadikan jumlah keseluruhan sepanjang tempoh kontrak sekitar AS$7 bilion hingga AS$9 bilion.

 

Walaupun jumlah yang dipersetujui itu adalah kecil berbanding kapasiti eksport LNG tahunan Malaysia yang melebihi 25 juta tan, para pemerhati industri menyatakan perjanjian ini merupakan satu langkah strategik untuk PETRONAS dan juga negara.

 

“Kontrak jangka panjang memberikan kestabilan harga serta melindungi Malaysia daripada ketidaktentuan pasaran spot LNG yang sebelum ini menyaksikan lonjakan harga yang mendadak,” ujar seorang lagi pemerhati.

 

Impak Kewangan Dijangka Minimum

 

Dari sudut kewangan, perjanjian tersebut dijangka tidak mengubah secara ketara trajektori pendapatan PETRONAS.

 

Untuk tahun 2024, syarikat minyak negara itu melaporkan hasil sebanyak kira-kira RM350 bilion dan keuntungan bersih RM80 bilion.

 

Namun begitu, aliran tunai terjamin sekitar RM2 bilion hingga RM3 bilion setahun daripada perjanjian ini mencerminkan strategi PETRONAS dalam mempelbagaikan sumber LNG dan memperkukuh kedudukannya sebagai pemain global bersepadu, kata pemerhati berkenaan.

 

Dengan permintaan gas di Semenanjung Malaysia yang terus meningkat dipacu oleh pertumbuhan operasi pusat data, penggunaan kecerdasan buatan (AI) yang semakin pesat, serta peralihan tenaga daripada arang batu kepada gas perjanjian ini memastikan sebarang kemungkinan gangguan bekalan tidak akan menjejaskan pertumbuhan ekonomi mahupun aspirasi tenaga negara.

 

“Kontrak ini mengunci bekalan dalam jumlah yang stabil dengan harga yang lebih dapat dijangka, sekaligus mengurangkan pendedahan kepada ketidaktentuan pasaran spot LNG.

 

“Ia juga menunjukkan bahawa PETRONAS sedang meletakkan dirinya bukan sahaja sebagai pengeksport gas Malaysia, tetapi sebagai pemain portfolio LNG global yang mampu mengimbangi keperluan domestik dan antarabangsa,” jelasnya.

 

Malaysia ketika ini mengeksport LNG secara besar-besaran dari Sarawak, namun keperluan bekalan ke Semenanjung Malaysia bergantung kepada kemudahan regasifikasi di Melaka dan Pengerang, Johor.

 

Bagi pihak Woodside pula, perjanjian ini membuka pasaran baharu yang stabil untuk portfolio LNG syarikat itu, termasuk projek-projeknya di Australia dan Amerika Syarikat. - DagangNews.com