Perdana Petroleum raih kontrak tiga tahun bagi perkhidmatan kapal sokongan daripada PTTEP Sabah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perdana Petroleum raih kontrak tiga tahun bagi perkhidmatan kapal sokongan daripada PTTEP Sabah

Oleh 'AINA SYAZWINA

KUALA LUMPUR 4 Julai – Perdana Petroleum Bhd memperoleh kontrak tiga tahun daripada PTTEP Sabah Oil Ltd untuk menyediakan perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir menerusi anak syarikatnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB).

 

Kumpulan itu dalam satu makluman kepada Bursa Malaysia berkata, PNSB menerima pesanan kerja pada 27 November 2024, namun pengumuman hanya dibuat pada 3 Julai selepas mendapat kelulusan daripada PTTEP Sabah.

 

Kontrak tersebut dimeterai di bawah Panel Contractor Contract (PCC) bagi perkhidmatan kapal sokongan luar pesisir kepada Petroleum Arrangement Contractors (PAC) pada 9 April 2023.

 

PTTEP Sabah dan PTTEP Sarawak merupakan anak syarikat kepada PTT Exploration and Production Public Company Ltd (PTTEP), iaitu syarikat petroleum nasional Thailand.

 

Kontrak itu melibatkan penyediaan kapal bekalan tunda dan pengendalian sauh (AHTS) yang lengkap dengan kru serta kelengkapan untuk sokongan 24 jam kepada operasi pelantar, pemasangan luar pesisir, barge derrick, penundaan dan pengendalian sauh.

 

Perdana Petroleum menjangkakan kontrak ini akan menyumbang secara positif kepada pendapatan dan aset bersih kumpulan bagi tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 hingga 2028.

 

Nilai kontrak tidak dinyatakan kerana bergantung kepada lokasi tugasan sepanjang tempoh perkhidmatan.- DagangNews.com