KUALA LUMPUR 13 Mac - Perdana Petroleum Bhd memperoleh kontrak daripada Sarawak Shell Bhd bagi penyewaan dua platform terapung yang digunakan sebagai penginapan sementara kepada pekerja dengan jumlah yang tidak didedahkan.
Perdana berkata, platform terapung itu disewa oleh anak syarikat milik penuhnya, Perdana Nautika Sdn Bhd (PNSB) untuk tempoh tiga tahun masing-masing bermula 15 Mac 2025 dan 7 April 2025, dengan pilihan untuk lanjutan selama setahun.
Katanya, setiap kapal boleh menampung seramai 300 orang pekerja.
"PNSB bertanggungjawab menyediakan platform terapung penginapan lengkap dengan kru dan peralatan untuk menjalankan pelbagai tugas seperti menyokong pelantar penggerudian, pemasangan luar pesisir, kerja menunda dan lain-lain sepanjang 24 jam, mengikut keperluan yang dipersetujui untuk projek Sarawak Shell," katanya dalam satu kenyataan.
Ini adalah kemenangan penyewaan pertama oleh Perdana pada tahun ini.
Pada 2024, syarikat itu meraih lapan kontrak baharu dan empat lanjutan kontrak untuk kapal-kapalnya yang digunakan bagi menyokong industri minyak dan gas luar pesisir.
Pada bulan lalu, Perdana mencatatkan keuntungan tahunan terbesar dalam tempoh 18 tahun bagi tahun kewangan yang berakhir pada 31 Disember 2024, berikutan peningkatan penggunaan kapal dan kadar sewaan.
Kumpulan sedang mempertimbangkan pembaharuan armada mereka, kerana permintaan dan kadar sewaan dijangka kekal tinggi. - DagangNews.com








