Perbelanjaan iklan diramal menguncup lebih sederhana pada kadar 2.8% pada tahun ini, kata Kenanga Research | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Perbelanjaan iklan diramal menguncup lebih sederhana pada kadar 2.8% pada tahun ini, kata Kenanga Research

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 12 Mac - Kenanga Research meramalkan perbelanjaan pengiklanan (adex) pada 2025 menguncup kepada 2.8% mencerminkan kadar penurunan lebih sederhana berbanding penguncupan tahun lalu sebanyak 7.1%.

 

Katanya, jangkaan itu disokong limpahan daripada adex daripada suku keempat 2024 kepada suku pertama 2025 kerana kebanyakan pengiklan menangguhkan perbelanjaan mereka kepada awal tahun ini bagi menyelaraskannya dengan kempen Tahun Baharu Cina. 

 

“Selaras dengan ini, kami menjangkakan penurunan dalam adex pada tahun ini untuk media digital adalah sebanyak 25%,  akhbar (5%), majalah (8%) dan pawagam (3%), ia akan mengimbangi pertumbuhan dalam siaran tv percuma dengan pertambahan sebanyak 3% dan radio sebanyak 2%," katanya dalam satu nota kajian.

 

Selepas mengambil kira andaian adex mereka, Kenanga Research mengunjurkan penurunan 64% dalam untung bersih teras terkumpul untuk syarikat media di bawah liputan mereka pada tahun kewangan 2025 dan 2026, terutamanya didorong oleh Astro.

 

“Kami mengekalkan saranan "underweight" terhadap sektor ini, kerana tekanan persaingan yang berterusan membebani hasil mereka, manakala beban kos struktur memberi kesan kepada keuntungan," katanya.

 

Katanya, industri media tradisional akan menghadapi tekanan akibat perbelanjaan warisan yang semakin meningkat seperti akhbar terpaksa menanggung perbelanjaan berterusan untuk kertas, dakwat dan logistik pengedaran.

 

Bagi radio, siaran tv percuma dan siaran tv berbayar, mereka perlu menanggung perbelanjaan operasi untuk infrastruktur penyiaran seperti Menara penghantaran dan pautan naik satelit.

 

"Keadaan itu akan diburukkan lagi oleh kos tenaga kerja yang besar dan semakin tua dengan set kemahiran ketinggalan aman engan pendekatan kreatif yang tidak sesuai dengan khalayak yang lebih muda serta celik digital.

 

"Halangan struktur ini menjadikannya semakin sukar bagi syarikat media warisan yang lebih kecil untuk mencatta keuntungan berbanding pemain media baharu dan pemimpin pendapat utama (KOL) yang beroperasi dengan model perniagaan yang cekap kos," katanya.

 

Firma media tradisional yang lebih besar juga tidak terkecuali dengan sebahagiannya kadangkala mengalami kerugian suku tahunan.

 

"Kami tidak mempunyai sebarang pilihan saham dalam sektor ini," kata Kenanga Research. - DagangNews.com