KUALA LUMPUR 13 Jun - Maybank Investment Bank (Maybank IB) meramalkan berlakunya perang harga dalam sektor sarung tangan disebabkan terdapat lebihan bekalan dalam pasaran.
Katanya, sumber industri terkini menunjukkan persaingan dalam sektor itu akan terus meningkat dengan kapasiti pengeluaran baharu daripada pengeluar sarung tangan utama China mula beroperasi menjelang akhir tahun ini.
Difahamkan, pengeluar sarung tangan dari China itu telah mula memasarkan produknya kepada pelanggan di Amerika Syarikat (AS) dengan menawarkan kapasiti baharu dari kilang luar negaranya di Vietnam dan Indonesia dengan purata harga jualan (ASP) AS$16–AS$17 setiap 1,000 keping dengan penghantaran bermula November ini
Firma penyelidikan itu berkata, harga yang ditawarkan itu adalah lebih rendah berbanding pengeluar dari Malaysia iaitu antara AS$18-AS$19 bagi setiap 1,000 keping.
Selain itu, kilang syarikat China di Indonesia dijangka mula beroperasi pada akhir 2025 atau awal 2026, lebih awal daripada jangkaan iaitu pada separuh kedua 2026.
"Keputusan kewangan akan datang berkemungkinan lemah, terutamanya disebabkan kelemahan mata wang dolar AS berbanding ringgit.
"Kami mengekalkan pendirian negatif terhadap sektor sarung tangan Malaysia dan mengekalkan saranan "jual" ke atas Hartalega Holdings Bhd, Kossan Rubber Industries dan Top Glove Corporation Bhd," katanya dalam satu nota kajian.
Maybank IB berkata, walaupun ia mungkin sebahagian daripada strategi pemasaran pengeluar sarung tangan China, harga masih boleh berubah berdasarkan permintaan, tarif, dan tindak balas balas daripada Malaysia.
Katanya, persaingan jelas semakin sengit, dengan pertambahan kapasiti dari China (menyasarkan pasaran bukan AS) serta kilang luar negaranya (yang memberi tumpuan kepada pasaran AS).
"Keadaan mungkin akan menajdi sebaliknya sekiranya berlaku perubahan dalam dasar perdagangan AS, terutamanya jika pentadbiran Trump memuktamadkan tarif yang lebih tinggi ke atas sarung tangan dari Vietnam, Indonesia dan Thailand, sambil mengekalkan tarif yang lebih rendah untuk Malaysia.
"Langkah sedemikian akan mengembalikan daya saing kos Malaysia di pasaran AS dan sebahagiannya mengimbangi halangan struktur yang dihadapi sektor ini," katanya. - DagangNews.com








