KUALA LUMPUR 1 Julai - Krisis politik sehingga menyebabkan pertukaran kerajaan antara 2016 hingga 2021 dikenal pasti sebagai antara faktor yang menyumbang kepada kelewatan pelaksanaan projek penggantian sistem aerotrain di Terminal 1 Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Pengarah Urusan Malaysia Airports Holdings Bhd (MAHB), Datuk Mohd Izani Ghani berkata, pertukaran kerajaan yang berlaku dalam tempoh berkenaan turut menyebabkan perubahan pada peringkat Lembaga Pengarah dan pengurusan MAHB, sekali gus memberi kesan kepada proses pelantikan kontraktor.
"Salah satu penjelasan yang saya temui, dan saya akan bercakap secara terus terang, ialah landskap politik Malaysia ketika itu tidak stabil.
"Setiap kali berlaku pertukaran kerajaan, Lembaga Pengarah MAHB turut berubah dan pengurusan syarikat juga bertukar," katanya seperti dilaporkan The Edge.
Mohd Izani yang dilantik sebagai Pengarah Urusan MAHB pada 1 Ogos 2024 berkata demikian semasa menjawab pertanyaan Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) dalam prosiding pada Februari 2025 berhubung tempoh yang panjang diambil lembaga pengarah untuk menggantikan sistem aerotrain pada 2016 dengan pelantikan kontraktor yang hanya dimuktamadkan pada Disember 2021.
Laporan siasatan PAC itu diterbitkan hari ini.
Kontraktor Gagal Penuhi Prestasi Ditetapkan
Sepanjang tempoh 2016 hingga 2021, Malaysia menyaksikan dua pertukaran kerajaan dan tiga Perdana Menteri, termasuk perubahan pentadbiran susulan Langkah Sheraton pada 2020.
Anak syarikat Pestec International Bhd, Pestech Technology Sdn. Bhd. akhirnya dilantik sebagai kontraktor projek pada Disember 2021.
Bagaimanapun, kontrak syarikat itu ditamatkan pada Ogos 2023 berikutan kegagalan memenuhi prestasi yang ditetapkan.
Projek berkenaan kemudiannya diteruskan menerusi konsortium yang dianggotai pengeluar sistem rel dari Perancis, Alstom SA, bersama usaha sama antara Pestech dan IJM Corporation Bhd, yang dianugerahkan kontrak tersebut pada Januari 2024.
Artikel berkaitan: Operasi Aerotrain KLIA: 19 kali rosak, kini kembali lancar dengan kestabilan 100%, Parlimen diberitahu
Sistem aerotrain di KLIA telah berdepan beberapa gangguan operasi sejak beberapa tahun lalu, sekali gus menimbulkan kritikan terhadap tahap penyelenggaraan dan kebolehpercayaan infrastruktur lapangan terbang negara.
Walaupun sistem aerotrain baharu mula beroperasi pada Julai 2025, beberapa gangguan perkhidmatan masih dilaporkan berlaku.
Susulan itu, MAHB melaksanakan Pelan Tindakan Komprehensif secara berperingkat bagi meningkatkan kebolehpercayaan sistem tersebut.
Pelan itu berjaya disiapkan pada Mei 2026 sebelum perkhidmatan aerotrain kembali beroperasi sepenuhnya selama 24 jam sehari, tujuh hari seminggu bermula 1 Jun lalu. - DagangNews.com








