KUALA LUMPUR 9 Mac – Focus Point Holdings Bhd merancang melakukan perubahan strategik dengan memberi tumpuan kepada perkhidmatan penjagaan mata perubatan bernilai tinggi bagi mengukuhkan kedudukannya dalam industri optikal yang semakin kompetitif.
Syarikat itu akan memanfaatkan rangkaian 206 cawangan di seluruh Malaysia serta penggunaan teknologi diagnostik berasaskan kecerdasan buatan (AI) untuk menawarkan perkhidmatan pemeriksaan mata yang lebih maju kepada pelanggan.
Mercury Securities berkata peralihan strategi tersebut akan memfokuskan kepada konsep Advanced Primary Eye Care (APEC), sekali gus mengubah pendekatan syarikat daripada sekadar peruncitan optikal kepada penyedia perkhidmatan penjagaan mata yang lebih komprehensif.
Firma penyelidikan itu berkata, penggunaan teknologi AI seperti AirDoc bagi pengesanan awal penyakit mata berpotensi meningkatkan kadar pelanggan sedia ada serta menyokong margin keuntungan syarikat dalam jangka panjang.
“Pada masa sama, segmen optikal kekal menjadi pemacu utama pertumbuhan kumpulan dengan rangkaian 206 cawangan yang membolehkan syarikat memperluaskan perkhidmatan penjagaan mata peringkat awal secara lebih meluas.
“Selain itu, syarikat turut mengekalkan rancangan pembukaan kira-kira 10 cawangan baharu setiap tahun antara tahun kewangan 2026 hingga 2028 bagi menyokong pertumbuhan perniagaan optikalnya,” kata Mercury Securities dalam nota kajiannya.
Dalam perkembangan lain, segmen makanan dan minuman (F&B) di bawah jenama Komugi masih berdepan cabaran apabila merekodkan kerugian kira-kira RM3.1 juta bagi tahun kewangan 2025 walaupun pendapatan kekal stabil sekitar RM44.2 juta.

Keputusan itu sebahagian besarnya disebabkan oleh peningkatan kos operasi serta pelarasan nilai sekali sahaja yang memberi tekanan kepada keuntungan segmen berkenaan.
Mercury Securities Sdn Bhd berkata bagi menangani situasi tersebut, pihak pengurusan sedang melaksanakan langkah rasionalisasi dengan memberi tumpuan kepada 14 cawangan milik sendiri di Malaysia, selain memperkukuh pertumbuhan francais Komugi di Filipina yang kini berjumlah 25 cawangan.
“Dalam masa sama, kedudukan kewangan kumpulan terus mengukuh dengan status tunai bersih setakat Disember 2025 yang memberikan fleksibiliti kepada syarikat untuk membiayai rancangan pengembangan termasuk ke Sabah dan Sarawak tanpa menjejaskan pegangan ekuiti.
“Kekuatan kedudukan kewangan itu turut membolehkan Focus Point melaksanakan dasar pembayaran dividen sebanyak 50 peratus dengan agihan secara suku tahunan kepada pemegang saham,” katanya.
Bagi tahun kewangan 2025, syarikat mengumumkan dividen tertinggi setakat ini sebanyak 3.563 sen yang mencerminkan keyakinan pengurusan terhadap keupayaan menjana aliran tunai yang stabil.
Pada masa sama, Focus Point turut menerima pengiktirafan apabila dimasukkan ke dalam beberapa indeks utama di Bursa Malaysia termasuk FTSE4Good Bursa Malaysia Index dan Bursa Malaysia Quality 50 Index yang dilihat berpotensi menarik minat pelabur institusi pada masa depan. - DagangNews.com








