SEPANG 17 Ogos - Kempen Eat and Win 2.0 anjuran Eraman mencatat peningkatan penyertaan lebih 50% berbanding edisi terdahulu, ketika peruncit lapangan terbang itu mempergiat usaha meningkatkan penglibatan pelanggan menerusi tawaran makanan dan minumannya di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).
Kempen yang berlangsung dalam tiga pusingan dan berakhir pada Januari 2026 itu menawarkan hadiah keseluruhan bernilai lebih RM150,000 kepada pelanggan yang menjamu selera di Food Garden, Aras 2, Terminal 1 KLIA.
Pengurus Besar Malaysia Airports (Niaga) Sdn Bhd, Md Fadzwin Abdul Rahim berkata, kempen itu merupakan sebahagian daripada usaha Eraman untuk menawarkan pengalaman lebih bermakna dan memberi ganjaran kepada pengembara, melangkaui aktiviti membeli-belah dan menjamu selera.
"Di Eraman, kami percaya setiap perjalanan wajar diberikan ganjaran. Menerusi kempen seperti Eat and Win, kami berusaha melangkaui pengalaman membeli-belah dan menjamu selera dengan mewujudkan pengalaman bermakna yang menggembirakan pelanggan serta menjadikan setiap perjalanan di lapangan terbang lebih berkesan," katanya.
Eraman berkata, peningkatan penyertaan itu mencerminkan penglibatan pelanggan yang kukuh serta populariti promosi makanan dan minumannya yang semakin meningkat.
Lebih banyak kempen seiring pertumbuhan penumpang
Menurut Md Fadzwin, Eraman merancang memperkenalkan lebih banyak kempen menarik, promosi eksklusif dan ganjaran kepada pelanggan seiring pertumbuhan trafik penumpang.
Kempen Eat and Win juga bertujuan menggalakkan pengembara menikmati pelbagai pilihan makanan dan minuman Eraman sebelum meneruskan perjalanan, selain mengukuhkan kesetiaan pelanggan.
Pemenang Eat and Win 2.0 diraikan dalam majlis penyampaian hadiah di Sama Sama Hotel, KLIA yang disempurnakan Md Fadzwin.

Sofian A. Ghafar muncul sebagai pemenang hadiah utama dan membawa pulang jongkong emas tulen 999.9 seberat 150 gram, manakala pemenang lain menerima hadiah termasuk iPad, DJI Osmo Pocket dan robot vakum.
Eraman berkata, kempen itu merupakan sebahagian daripada usaha berterusannya untuk meningkatkan keseluruhan pengalaman di lapangan terbang menerusi promosi makanan dan minuman serta pemberian ganjaran kepada pelanggan. - DagangNews.com








