Penyebaran wabak hantavirus tidak memberi kesan besar terhadap permintaan sarung tangan global buat masa ini – PublicInvest | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penyebaran wabak hantavirus tidak memberi kesan besar terhadap permintaan sarung tangan global buat masa ini – PublicInvest

Oleh KAMALIZA KAMARUDDIN

KUALA LUMPUR 11 Mei – Penyebaran wabak hantavirus yang kembali mendapat perhatian Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) dilihat belum cukup kuat untuk mengubah permintaan global terhadap sarung tangan getah secara ketara, menurut Public Investment Bank Bhd (PublicInvest).

 

Firma penyelidikan itu berkata harga jualan purata (ASP) sarung tangan generik kini meningkat kepada sekitar AS$29 bagi setiap 1,000 keping, berbanding kira-kira AS$16 setahun lalu dan sekitar AS$14 pada suku sebelumnya.

 

Menurut firma itu, kenaikan harga tersebut didorong oleh permintaan yang semakin pulih selain pengeluar sarung tangan yang kini lebih berhati-hati dalam mengawal kapasiti pengeluaran.

 

“Kossan Rubber Industries Bhd memaklumkan setiap kenaikan AS$100 dalam kos bahan mentah boleh meningkatkan kos pengeluaran sekitar AS$7 bagi setiap 1,000 keping sarung tangan.

 

“Kenaikan harga jualan semasa akan membantu meningkatkan prestasi kewangan Kossan bagi suku kedua tahun kewangan 2026 (Q2 FY26),” kata PublicInvest dalam nota kajiannya.

 

Selain itu, pendapatan jangka pendek syarikat tersebut juga dijangka mendapat sokongan daripada ketidaktentuan harga bahan mentah yang dipengaruhi perkembangan di Timur Tengah, khususnya dalam tempoh 2Q FY26.

 

Bagaimanapun, firma itu mengingatkan bahawa kenaikan harga ketika ini tidak semestinya menandakan industri sarung tangan sedang memasuki fasa pertumbuhan besar seperti ketika pandemik COVID-19.

 

“Ini kerana kapasiti pengeluaran global masih jauh lebih tinggi berbanding permintaan semasa, dengan jumlah bekalan dianggarkan melebihi 500 bilion keping sedangkan permintaan global masih di bawah 400 bilion keping.

 

“Oleh itu, kami mengekalkan unjuran kewangan Kossan bagi FY26 hingga FY28 selepas mengadakan pertemuan dengan pihak pengurusan syarikat baru-baru ini.

 

“Kossan dijangka mengekalkan prestasi pendapatan yang defensif pada FY26 meskipun persekitaran industri masih mencabar disokong oleh langkah kawalan kos yang berdisiplin, kedudukan kewangan yang kukuh serta peralihan secara berperingkat ke arah produk bernilai lebih tinggi seperti sarung tangan untuk bilik bersih,” katanya.

 

Pada masa sama, PublicInvest percaya usaha naik taraf automasi dan pengembangan kapasiti sarung tangan bilik bersih akan membantu mengurangkan tekanan margin keuntungan dalam tempoh sederhana.

 

Namun, firma penyelidikan itu menjangkakan tekanan kos akan kembali meningkat pada separuh kedua FY26 susulan kenaikan harga bahan mentah utama.

 

Secara keseluruhan, PublicInvest mengekalkan saranan “Outperform” terhadap Kossan, namun menurunkan harga sasaran saham syarikat itu kepada RM1.36 daripada RM1.50 sebelum ini berikutan prospek industri yang masih berhati-hati walaupun terdapat sokongan jangka pendek daripada kenaikan harga jualan. - DagangNews.com