Penutupan Selat Hormuz mampu jejas bekalan serta harga minyak dunia - Maybank IB | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penutupan Selat Hormuz mampu jejas bekalan serta harga minyak dunia - Maybank IB

Gambar Venti Views/Unsplash
Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 30 Jun - Penutupan Selat Hormuz oleh Iran boleh memberi kesan besar kepada bekalan minyak global dan harga minyak mentah, menurut Maybank Investment Bank Research (Maybank IB).

 

Firma penyelidikan itu berkata, jika Iran benar-benar menutup Selat Hormuz, ia boleh mengganggu bekalan minyak dunia dan memberi tekanan kepada unjuran harga minyak mentah Brent pada AS$67 (RM282.37) setong tahun ini, serta menjejaskan penilaian 'neutral' terhadap sektor minyak dan gas.

 

"Harga minyak mentah mungkin meningkat dalam jangka masa pendek, bergantung kepada berapa lama gangguan itu berlaku. 

 

"Namun, dalam situasi tegang sebelum ini, harga minyak tidak naik lama kerana bekalan minyak tidak begitu terganggu," jelas Maybank IB dalam satu nota kajian.

 

Jelasnya, Iran sendiri menggunakan Selat Hormuz untuk mengeksport minyak. 

 

Sekiranya ia ditutup, tindakan itu boleh merugikan ekonominya sendiri, menyebabkan Iran dipulaukan secara diplomatik dan mungkin mengundang tindakan balas.

 

"Kajian kami menunjukkan Selat Hormuz tidak pernah ditutup sepenuhnya sebelum ini, walaupun pernah diancam beberapa kali, termasuk semasa Perang Tangki Iran-Iraq pada 1980-an, sekatan Kesatuan Eropah (EU) dan Amerika Syarikat (AS) terhadap Iran pada 2011, serta selepas AS menarik diri daripada perjanjian nuklear Iran pada 2018 hingga 2019," tambahnya.

 

Pada 22 Jun lalu, Parlimen Iran meluluskan resolusi yang membolehkan penutupan Selat Hormuz, tetapi keputusan muktamad bergantung kepada Majlis Keselamatan Kebangsaan Tertinggi Iran, iaitu badan keselamatan tertinggi negara itu.

 

"Setakat ini, kami difahamkan tiada arahan rasmi dikeluarkan oleh majlis tersebut. Namun, kemungkinan penutupan selat masih wujud walaupun ia dilihat tidak mungkin berlaku buat masa ini," kata Maybank IB.

 

Firma berkenaan turut menyenaraikan Dialog Group Bhd dan Bumi Armada Bhd sebagai pilihan utama dalam sektor minyak dan gas.

 

Selat itu merupakan laluan penting yang mengendalikan kira-kira 20% penghantaran minyak dunia dan 25% hingga 30% eksport gas asli cecair (LNG) global.

 

Negara seperti Arab Saudi, Emiriah Arab Bersatu, Iran, Kuwait, Iraq dan Qatar amat bergantung kepada laluan tersebut untuk mengeksport minyak dan gas yang juga sumber utama pendapatan negara mereka. - DagangNews.com