KUALA LUMPUR 21 Mac - Eco World Development Group diramal mencatatkan pertumbuhan hasil lebih baik pada FY25 didorong penjualan tanah kepada Microsoft, kata MIDF Research.
Katanya, prospek jangka panjang kumpulan itu juga stabil dengan keterlihatan pendapatan berulang menerusi perjanjian bina dan sewa pusat datanya kepada Pearl Computing.
"Pendapatan bersih 1QFY25 kumpulan itu bagaimanapun berada dalam jangkaan kami dan mereka mengumumkan pemberian dividen interim pertama sebanyak 1 sen sesaham.
"Pertumbuhan pendapatan pada 1QFY25 meningkat 11.9% dipacu penjimatan kos fasa siap yang meningkatkan margin keuntungan kasar," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, hasil bagi suku tahun itu meningkat 0.3% kepada RM539.63 juta daripada RM537.79 juta pada suku sebelumnya.
Peningkatan perolehan itu adalah berikutan sumbangan lebih tinggi daripada fasa aktif dan fasa baharu, melebihi sumbangan yang lebih rendah daripada fasa hampir siap.
Projek utama yang menyumbang kepada perolehan dan keuntungan kasar pada suku pertama 2025 adalah Eco Botanic, Eco Botanic 2, Eco Spring, Eco Tropics, Eco Business Park I dan Eco Business Park III di Iskandar Malaysia, dan Eco Majestic, Eco Forest dan Eco Sanctuary di Lembah Klang.
MIDF Research berkata, Eco World merekodkan jualan kukuh sebanyak RM1.93 bilion dalam empat bulan pertama FY25, membentuk 55% daripada sasaran jualan baharu sebanyak RM3.5 bilion untuk FY25.
Katanya, jualan kukuh itu disumbangkan jualan tanah sebanyak RM960 juta yang merangkumi 49% kepada jumlah jualan, diikuti oleh Eco Townships (22%), Eco Hubs (14%) dan Eco Rise (13%).
Sementara itu, penggearan bersih meningkat kepada 0.38x pada 1QFY25 daripada 0.19x pada 4QFY24 apabila Eco World meningkatkan pinjaman untuk membiayai perolehan 342.9 hektar di Semenyih untuk perbandaran Eco Radiance.
"Namun begitu, hasil masa hadapan berjumlah RM5 bilion pada 1QFY25 yang sepatutnya menambah baik aliran tunai masa hadapan," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) RM2.11 sesaham. - DagangNews.com








