Penjualan kapal DP2 berharga RM144 juta beri impak terhad terhadap hasil Keyfield, TA Securities saran ‘beli’ saham | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjualan kapal DP2 berharga RM144 juta beri impak terhad terhadap hasil Keyfield, TA Securities saran ‘beli’ saham

Antara contoh kapal DP2 dalam operasi armada Keyfield. - Foto kredit Keyfield
Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 19 Feb – Pelupusan sebuah kapal Dynamic Positioning 2 (DP2) jenis penginapan pekerja oleh Keyfield International Berhad dijangka hanya memberi impak terhad terhadap hasil 1QFY26.


Menurut TA Securities, situasi tersebut memandangkan sebarang keuntungan yang direkodkan adalah bersifat sekali sahaja dan tidak mencerminkan prestasi operasi teras keseluruhan kumpulan itu.


Justeru jelas firma itu, lanjutan tarikh penyempurnaan transaksi sehingga 25 Februari 2026 tidak mengubah nilai harga pelupusan kekal AS$36.8 juta (RM143.95 juta) dan selesai sepenuhnya secara tunai.


"Ia dibuat menerusi memorandum persetujuan (MOA) antara anak syarikat, Keyfield Resolute Sdn Bhd dan pihak pembeli, dengan syarat baki 90% harga penjualan itu dimasukkan ke dalam akaun," katanya.


TA Securities berpandangan, perkembangan terbaharu ini lebih bersifat prosedur dan tertumpu kepada langkah penyempurnaan pembayaran, bukannya perubahan nilai atau sebarang terma utama transaksi.


Secara strategik, pelupusan tersebut dilihat sejajar dengan usaha pengoptimuman armada kumpulan itu dan strategi kitar semula modal syarikat bagi memperkukuh kedudukan kewangan serta kecekapan.


Sehubungan itu, firma penyelidikan tersebut menjangkakan urus niaga berkenaan akan dimuktamadkan dan diiktiraf dalam keputusan kewangan Keyfield menerusi laporan rasminya pada suku pertama 2026. 


"Bagaimanapun, sebarang keuntungan daripada proses pelupusan akan diklasifikasikan sebagai tidak berulang dan dikecualikan daripada unjuran pendapatan teras kumpulan," tambah TA Securities.


Hasil tunai daripada penjualan itu dijangka meningkatkan fleksibiliti kunci kira-kira syarikat tersebut, selain membuka ruang kepada pembiayaan pengembangan armada baharu pada masa hadapan.


Pada masa sama, sebahagian daripada keuntungan pelupusan berpotensi diagihkan kepada pemegang saham dalam bentuk dividen, bergantung kepada keperluan modal dan pelan pertumbuhan kumpulan.


Dari segi penilaian, TA Securities mengekalkan harga sasaran RM1.70 sesaham, berdasarkan 9.0 kali unjuran perolehan sesaham (EPS) Keyfield pada FY26 serta mengambil kira premium ESG sebanyak 3%.


"Kami turut mengekalkan saranan ‘beli’, dan melihat pelupusan ini langkah strategik jangka panjang bagi mengukuh asas kewangan tanpa kesan material prestasi semasa," katanya. - DagangNews.com