Penjawat awam terima duit raya RM500 dan pesara RM250 sebelum Aidilfitri | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penjawat awam terima duit raya RM500 dan pesara RM250 sebelum Aidilfitri

Oleh NOR AZAN FITRI AHMAD HIDZIR

KUALA LUMPUR 21 Mac - Kerajaan hari ini mengumumkan Bantuan Kewangan Khas Aidilfitri (BKKA) sebanyak RM500 kepada penjawat awam Gred 15 ke bawah (setara Gred 56 dan ke bawah) yang akan dibayar pada bermula minggu hadapan.

 

Kementerian Kewangan berkata, bantuan itu juga meliputi pegawai dan kakitangan lantikan kontrak, pegawai sambilan harian dan lantikan MySTEP.

 

Katanya, Bantuan Khas sebanyak RM250 turut dibayar kepada pesara kerajaan (pesara berpencen, penerima pencen terbitan, pesara Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP), veteran berpencen serta veteran tidak berpencen).

 

"Bantuan Khas kepada penjawat awam dan pesara ini melibatkan implikasi kewangan mencecah RM900 juta. 

 

"Pembayaran BKKA akan disalurkan sebelum sambutan Hari Raya Aidilfitri. Bantuan Khas ini juga akan memanfaatkan lebih 2 juta penjawat awam dan pesara.

 

"Bantuan Khas ini mengambil kira keperluan perbelanjaan rakyat dalam persiapan Hari Raya Aidilfitri," katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

 

Kerajaan berharap pemberian Bantuan Khas ini dapat meringankan beban kewangan kepada penjawat awam dan pesara serta dijadikan sebagai pemangkin kepada mereka untuk terus berkhidmat dengan penuh dedikasi.

 

Selain penjawat awam, Kerajaan Madani juga akan mengawalkan Pembayaran Sumbangan Tunai Rahmah (STR) Fasa 2 untuk 9 juta penerima mulai 24 Mac 2025 iaitu Isnin dengan peruntukan sebanyak RM1.7 bilion. - DagangNews.com