KUALA LUMPUR 19 Feb - Pemaju hartanah, MGB Bhd berpotensi mencatat pertumbuhan pendapatan kukuh sebanyak 11% pada tahun kewangan berakhir 31 Disember 2025 (FY25), didorong peningkatan kemajuan daripada projek jualan hartanahnya, kata RHB Research.
Katanya, prospek itu disokong projek rumah mampu milik Rumah Selangorku Idaman (Idaman), yang mempunyai nilai pembangunan kasar (GDV) sebanyak RM1.1 bilion dan merangkumi 3,800 unit.
Firma penyelidikan itu berkata, buku pesanan tertunggak syarikat itu setakat akhir suku keempat 2024 (4QFY24) berjumlah RM1.1 bilion, dengan 41% datang daripada Idaman Perdana dan Idaman Kita dan selebihnya berkaitan dengan pekerjaan daripada syarikat induknya, LBS Bina.
"Sasaran LBS untuk melancarkan projek bernilai GDV RM8 bilion dari 2025 hingga 2027 mungkin memberi petanda baik untuk penambahan kerja MGB.
"Ia meliputi perbandaran KITA@Cybersouth, yang mempunyai GDV yang belum dilancarkan bernilai RM3.5 bilion daripada jumlah RM6.6 bilion (bahagian yang dilancarkan mempunyai kadar penggunaan 72% setakat Februari 2025)," katanya dalam satu nota kajian.
RHB Research berkata, perancangan projek hartanah baharu MGB, termasuk perumahan mampu milik, memberikan keterlihatan pendapatan yang membanggakan dengan GDV terkumpul RM1.5 bilion.
Katanya, harga saham kumpulan adalah berpatutan, dengan ramalan nisbah harga kepada pendapatan (P/E) bagi tahun kewangan 2025 sebanyak 7x, lebih rendah daripada biasa, jatuh satu sisihan piawai di bawah purata lima tahun lepas.
"Pemangkin baharu termasuk membangunkan projek hartanah di Johor, memandangkan kumpulan itu sudah mempunyai dua projek di sana - Laman Bayu (Batu Pahat) dan Pangsapuri Saujana Indah (15km dari kompleks kastam, imigresen dan kuarantin Bangunan Sultan Iskandar Johor Bahru).
"Selain itu, pembangunan yang lebih pantas daripada jangkaan untuk Taman Perindustrian Kertih Terengganu (anggaran GDV: RM747 juta) dan usaha niaga pratuang MGB di Arab Saudi mungkin berfungsi sebagai peningkatan pendapatan selanjutnya," katanya.
Firma penyelidikan itu mengekalkan saranan "beli" dengan harga sasaran (TP) lebih rendah sebanyak RM1.15 berbanding RM1.20 sesaham.- DagangNews.com








