Peningkatan harga panel solar bakal beri cabaran kepada 13 pemaju menang projek LSS5+ - CGS International | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Peningkatan harga panel solar bakal beri cabaran kepada 13 pemaju menang projek LSS5+ - CGS International

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 3 Sept – Peningkatan harga panel solar dijangka menjadi cabaran utama kepada 13 pemaju yang memenangi projek Large Scale Solar PETRA 5+ (LSS5+) dengan kapasiti 1,975MW yang diumumkan Kementerian Peralihan Tenaga dan Transformasi Air (PETRA) semalam, kata CGS International.

 

Firma penyelidikan itu berkata, berbanding pusingan tender lalu, cabaran utama bagi pemaju kini adalah untuk mendapatkan panel solar pada harga kompetitif dalam usaha memastikan pulangan pelaburan yang stabil. 

 

"Maklum balas pasaran menunjukkan bahawa kos modul kini mula meningkat secara beransur-ansur selepas beberapa suku mengalami penurunan. 

 

"Kenaikan ini didorong oleh penyesuaian bekalan dan isyarat dasar dari China yang bertujuan menstabilkan industri pembuatan solar global," katanya dalam kenyataan hari ini.

 

Artikel Berkaitan: Kerajaan luluskan 13 projek solar mampu jana 1,975MW menjelang 2027

 

Semalam PETRA mengumumkan sebanyak 13 pemaju telah dipilih sebagai pemenang projek LSS5+ berdasarkan tawaran harga yang kompetitif serta pematuhan terhadap kriteria yang ditetapkan dalam dokumen permintaan cadangan (RFP).

 

Jumlah tersebut merupakan sebahagian daripada 37 permohonan telah diterima Suruhanjaya Tenaga (ST) terdiri daripada peserta individu dan konsortium, dengan jumlah kapasiti dicadangkan sebanyak 4,073MW, iaitu dua kali ganda daripada kuota yang ditawarkan. 

 

Dalam pengumuman rasmi semalam,  jumlah kapasiti yang diluluskan adalah sebanyak 1,975MW, dengan projek dijangka mula beroperasi bermula tahun 2027. 

 

CGS International berkata, walaupun ST tidak mendedahkan senarai pemenang, pemerhati pasaran menjangkakan nama-nama besar seperti Malakoff Corporation Bhd, YTL Power International Bhd (YTLP), dan Tenaga Nasional Bhd (TNB) berpotensi menjadi antara penerima manfaat utama dari sudut pemilikan aset LSS5+.

 

Katanya, keseluruhan projek LSS5+ dijangka merangsang kerja-kerja kejuruteraan, perolehan, pembinaan dan pentauliahan (EPCC) bernilai antara RM4 bilion hingga RM5 bilion, sekali gus memberi limpahan kontrak kepada pemain-pemain EPCC solar tempatan dan syarikat pembinaan.

 

Pelaksanaan LSS5+ juga mengukuhkan keperluan TNB untuk melaksanakan perbelanjaan modal bersyarat sebanyak RM16.6 bilion di bawah tempoh kawal selia RP4, bagi memperkukuh sistem grid negara dalam menyokong kemasukan tenaga boleh diperbaharui (RE) yang bersifat berselang-seli.

 

Untuk rekod, tender (LSS5+) yang ditutup pada Februari lalu telah dibahagikan kepada dua pakej utama:

 

Pakej A: Solar berasaskan darat (ground-mounted) dengan peruntukan kuota sebanyak 1.5GW, bagi projek berskala antara 30MW hingga 500MW.

 

Pakej B: Solar terapung (floating solar) dengan kuota 500MW, melibatkan saiz projek antara 10MW hingga 500MW.

 

Menurut CGS International, sumber industri menunjukkan bahawa harga tawaran (tariff) bagi Pakej A dijangka berada dalam lingkungan 14–16 sen/kWh, selari dengan kadar yang dilihat semasa LSS5 sebelum ini.

 

Katanya, pelaksanaan tender LSS5+ secara teratur dan tepat pada masanya memperkukuh naratif peralihan tenaga negara di bawah kerangka National Energy Transition Roadmap (NETR), yang kini memberi dimensi pertumbuhan struktur kepada sektor utiliti.

 

Penganalisis kekal ‘Overweight’ ke atas sektor utiliti Malaysia, disokong oleh pelaksanaan NETR yang konsisten dan komitmen kerajaan dalam mempercepatkan kapasiti RE negara.

 

Namun, antara risiko yang perlu diberi perhatian ialah potensi kelewatan pelaksanaan dasar NETR serta perubahan dasar kawal selia yang tidak dijangka. 

 

Sebaliknya, pemangkin kenaikan (re-rating catalyst) boleh datang daripada kejayaan pelaksanaan dasar-dasar yang mempercepatkan pertumbuhan kapasiti RE negara.  - DagangNews.com