KUALA LUMPUR 3 Mac – Lonjakan harga gas asli di pasaran global dilihat sebagai berpotensi besar dalam memperkukuhkan kedudukan luaran Malaysia secara ketara, menurut CIMB Securities.
Kata firma penyelidikan tersebut, dengan setiap kenaikan AS$5 (kira-kira RM19.68) bagi setiap juta unit termal British (MMBtu) dianggarkan mampu menambah sebanyak 1.23% kepada akaun semasa negara.
Jelasnya, kelebihan Malaysia pada kapasiti besar eksport gas asli cecair (LNG), menjadikannya antara pengeksport utama dunia berpotensi mencatat penambahbaikan bersih ketika harga meningkat.
“Malaysia merupakan satu-satunya pengeksport LNG utama global yang diramal merekodkan tambahan bersih akaun semasa dalam senario lonjakan harga gas, kata CIMB Securities dalam nota hari ini.
Negara ini katanya, turut mencatat lebihan perdagangan bersih minyak dan gas meskipun merupakan pengimport bersih minyak mentah, dengan disokong faktor kapasiti eksport LNG yang signifikan.
Dari sudut inflasi, firma tersebut menganggarkan kenaikan AS$10 (RM39.34) setong harga minyak mentah penanda aras Brent hanya akan meningkatkan inflasi keseluruhan sebanyak 0.1% pada 2026.
Keadaan itu tambahnya, jika kadar pertukaran dolar AS dan ringgit kekal stabil sekitar RM3.85 berbanding AS$1 serta harga rasionalisasi subsidi di bawah inisiatif BUDI95 masih tidak berubah.
"Setiap kenaikan AS$10 dianggarkan menaikkan harga ekonomi RON95 sekitar 10%, yang boleh menambah 55 mata asas kepada inflasi sekiranya tiada subsidi BUDI95 iaitu RM1.99 seliter," jelasnya lagi.
Perkembangan ini kata CIMB Securities, mengakibatkan kos fiskal tambahan RM3.8 bilion setahun, namun keadaan kali ini adalah baik berbanding rakan serantau yang diramal berdepan isu imbangan.
Justeru ujar firma itu, jika Brent mencecah AS$100 (RM393.44) setong, kerajaan mungkin menaikkan harga BUDI95 kepada RM2.05 seliter, yang hanya menambah sekitar 10 mata asas kepada inflasi.
Pada masa yang sama jelasnya, situasi berkenaan mengurangkan bil subsidi tahunan kira-kira RM1 bilion, dan ia berpandangan kesan inflasi semasa adalah masih terkawal kepada para pengguna.
"Ini tidak menjurus kepada keperluan Bank Negara Malaysia (BNM) menaikkan Kadar Dasar Semalaman (OPR) yang kini masih adalah 2.75% sejak dilaksanakan pada Julai 2025," kata CIMB Securities.
Bagaimanapun tambah firma berkenaan, dari segi fiskal, setiap kenaikan AS$10 (kira-kira RM39.34) setong harga Brent dijangka meningkatkan hasil berkaitan petroleum mencecah sekitar RM3.5 bilion.
Subsidi tahunan RON95 dan diesel selepas rasionalisasi namun diunjurkan meningkat masing-masing sebanyak RM3.8 bilion dan RM1.3 bilion, menjadikan kesan fiskal bersih kepada RM1.6 bilion.
Bagi segmen gas asli pula jelas CIMB Securities, kenaikan sebanyak AS$5 (kira-kira RM19.68) bagi setiap MMBtu dijangka berpotensi meningkatkan lagi paras subsidi LNG sekitar RM500 juta.
"Kami tetapi menjelaskan bahawa pengukuhan ringgit hampir 7% sejak pembentangan Belanjawan 2026 mungkin mengehadkan kesan fiskal bersih kenaikan harga minyak berbanding unjuran asal," katanya.
Secara keseluruhan, ia melihat lonjakan harga gas sebagai pemangkin positif ekonomi Malaysia berikutan kelebihan struktur eksport LNG, dengan risiko inflasi dan fiskal dalam kawalan. - DagangNews.com








