Pengukuhan industri runcit, ketibaan pelancong dijangka lonjak pendapatan REIT - Penganalisis | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Pengukuhan industri runcit, ketibaan pelancong dijangka lonjak pendapatan REIT - Penganalisis

Oleh HAMDEN RAMLI

KUALA LUMPUR 18 Sept - Pengukuhan dalam industri runcit dan peningkatan ketibaan pelancong dijangka memberi kelebihan dalam peningkatan pendapatan kepada amanah pelaburan hartanah (REIT) berasaskan runcit pada separuh kedua 2025, kata MBSB Research.

 

Firma penyelidikan itu berkata, jualan runcit Malaysia kekal mampan pada RM466.6 bilion bagi tempoh tujuh bulan pertama CY2025, meningkat +5.9% berbanding tahun lalu, menunjukkan kekuatan sektor runcit tempatan.

 

Perniagaan makanan dan minuman (F&B) di pusat membeli-belah juga kekal kukuh, disokong oleh kecenderungan masyarakat untuk bersosial dan makan di luar, terutamanya di lokasi dengan kemudahan tempat letak kereta dan suasana yang selesa.

 

Kata firma itu lagi, Malaysia turut mencatatkan peningkatan ketibaan pelancong kepada 12.85 juta (+8.8% YoY) bagi separuh pertama 2025. 

 

Ini dijangka terus meningkat menjelang kempen Tahun Melawat Malaysia 2026 yang mensasarkan lebih 35 juta pelancong.

 

"Sehubungan itu, REIT yang memiliki pusat beli-belah di lokasi tumpuan pelancong seperti Pavilion REIT, KLCCP Stapled Group, Sunway REIT dan IGB REIT dijangka meraih manfaat langsung daripada aliran pelancong yang meningkat itu," katanya dalam satu nota penyelidikan.

 

MBSB Research berkata, walaupun asas REIT kekal stabil dengan jangkaan sewaan yang positif, potensi kenaikan harga saham REIT dilihat terhad akibat tekanan terhadap hasil.

 

Katanya, hasil purata bagi REIT yang dikaji ialah sekitar 4.6%, yang dianggap kurang menarik dalam persekitaran semasa. Justeru, penilaian ke atas sektor REIT kekal NEUTRAL.

 

"Pavilion REIT merupakan satu-satunya REIT di bawah liputan yang menerima saranan BELI, dengan harga sasaran RM1.88. Prospek keuntungan Pavilion REIT dilihat terus positif menerusi sumbangan kukuh daripada Pavilion Kuala Lumpur dan peningkatan prestasi Pavilion Bukit Jalil," katanya.

 

Pavilion KL dijangka mencatat pertumbuhan organik berterusan berikutan semakan sewa positif, manakala Pavilion Bukit Jalil dijangka mencatat peningkatan hasil susulan asas sewa yang rendah dan aliran pengunjung yang stabil.

 

MBSB Research berkata, secara keseluruhan prestasi kewangan REIT bagi separuh pertama tahun kalendar 2025 (1HCY25) berada dalam jangkaan pasaran.

 

Katanya, daripada enam REIT yang berada di bawah liputan kajian, lima daripadanya mencatatkan keputusan kewangan yang sejajar dengan unjuran, manakala Axis REIT mencatatkan kejutan positif dengan prestasi mengatasi jangkaan. 

 

Ini didorong oleh pertumbuhan pendapatan sewaan yang lebih tinggi daripada dijangka hasil sumbangan aset baharu dan semakan sewa positif.

 

Sunway REIT mencatatkan pertumbuhan pendapatan seunit (EPU) tertinggi sebanyak +24.6% dalam 1HFY25, disokong oleh peningkatan pendapatan sewaan di Sunway Pyramid Mall serta penstrukturan semula ruang sayap Oasis.

 

Axis REIT pula mencatatkan pertumbuhan EPU sebanyak +9.4%, hasil prestasi kukuh daripada aset perindustriannya.

 

Sementara itu, IGB REIT juga mencatatkan pertumbuhan EPU sebanyak +9%, dipacu oleh prestasi konsisten Mid Valley Megamall dan The Gardens Mall. - DagangNews.com