KUALA LUMPUR 11 Nov – Taikun balak dan media, Pengerusi Eksekutif Kumpulan Rimbunan Hijau, Tan Sri Tiong Hiew King, meninggal dunia sekitar jam 11 pagi hari ini selepas melalui tempoh sakit. Beliau berusia 91 tahun.
Hiew King merupakan figura penting dalam dunia korporat dan media, selain pengasas bersama Rimbunan Hijau Group bersama adik-beradiknya pada tahun 1975, menurut laporan milik mendiang, The Borneo Post.
Sejak itu, kumpulan tersebut berkembang daripada perniagaan perkakasan dan bahan binaan kepada sektor lebih besar termasuk perkayuan, perladangan sawit, hotel, runcit, teknologi maklumat dan kewangan, dengan operasi merentas Malaysia, Papua New Guinea, China dan beberapa negara lain.
Lahir pada 18 Mac 1934 di Wilayah Fujian, China, Hiew King merupakan anak sulung daripada sembilan beradik.
Datang daripada keluarga kurang berkemampuan, beliau tidak berpeluang menerima pendidikan formal sepenuhnya dan terpaksa berhenti sekolah pada usia 13 tahun bagi membantu mengurangkan beban keluarga.
Namun, selepas keadaan memaksa beliau menyambung kembali pelajaran sambil bekerja, beliau berjaya menamatkan pendidikan menengah.
Hiew King menerima pendidikan awal di Sekolah Menengah Chung Cheng, Tanjong Kunyit, sebelum melanjutkan kursus korespondensi dengan Universiti Xiamen, China.
Beliau turut menguasai bahasa Cina, Inggeris, Melayu dan Iban.
Selain dunia korporat, Hiew King merupakan tokoh penting media berbahasa Cina.
Beliau antara pengasas United Daily News dan The Brunei Times di Brunei, serta mempunyai pengaruh dalam beberapa akhbar utama Cina di Malaysia termasuk Sin Chew Daily, Guang Ming Daily, Nanyang Siang Pau dan China Press.
Sumbangan beliau turut diiktiraf di peringkat antarabangsa.
Pada Jun 2009, beliau dianugerahkan Knight Commander of the Order of the British Empire (K.B.E) oleh Ratu Elizabeth II atas sumbangan kepada pembangunan perniagaan dan kebajikan di Papua New Guinea.
Setahun kemudian, Hiew King menerima Lifetime Achievement Award sebagai pengiktirafan terhadap sumbangannya kepada pembangunan ekonomi dan sosial.
Selain itu, Hiew King juga merupakan Presiden pengasas World Fuzhou Association dan World Zhang Clan Association, yang memperkukuh rangkaian diaspora Fuzhou dan Zhang di seluruh dunia.
Hiew King meninggalkan seorang isteri, seorang anak lelaki, empat anak perempuan serta cucu dan cicit. - DagangNews.com








