KUALA LUMPUR 21 Okt - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Sarawak Oil Palms Berhad diramal meningkat 2.3% tahun ini disokong pemulihan bermusim dalam hasil tanaman, normalisasi kadar perahan minyak dan pengurusan ladang yang cekap, kata Phillip Capital.
Katanya, prestasi segmen huluan kekal stabil dan dijangka mencatat pemulihan lebih kukuh pada separuh kedua 2025, sejajar dengan musim puncak pengeluaran kelapa sawit di seluruh negara.
"Kami mengekalkan unjuran pertumbuhan BTS tahun ini sebanyak 2.3% dengan pengeluaran dijangka naik pada separuh kedua tahun ini berikutan keadaan cuaca yang semakin baik dan kecekapan operasi yang berterusan," katanya dalam satu nota kajian.
Untuk tempoh sembilan bulan pertama tahun ini (9M25), pengeluaran BTS kumpulan adalah 916,000 tan, hampir menyamai tahun sebelumnya dengan peningkatan semula yang ketara bermula pada September hingga awal November, selaras dengan corak bermusim.
Firma penyelidikan itu berkata, hasil BTS meningkat secara beransur-ansur daripada 16.7 tan sehektar pada 2024 kepada 18.7 tan sehektar menjelang 2027, disokong penyertaan kawasan matang baharu serta penambahbaikan berterusan dalam produktiviti ladang.
Katanya, sebagai salah satu kumpulan sawit bersepadu terbesar di Malaysia Timur, Sarawak Oil Palms mengendalikan keseluruhan rantaian nilai sawit – daripada penanaman, pengilangan, penapisan hingga kepada pengeluaran produk pengguna.
Kompleks Penapisan Kidurong miliknya di Bintulu menempatkan kemudahan penapisan, biodiesel dan fitonutrien. Walaupun margin penapisan menurun akibat persaingan daripada pemain Indonesia, bahagian biodiesel kekal menguntungkan, disokong mandat pencampuran biodiesel negeri yang menjamin permintaan berterusan daripada Shell dan Petronas.
Phillip Capital berkata, kumpulan itu mengekalkan kedudukan kewangan yang kukuh dengan tunai bersih sebanyak RM136.5 juta dan rizab tunai RM1.79 bilion setakat Jun 2025.
Firma penyelidikan itu menjangkakan kumpulan itu akan mengekalkan dividen sesaham sebanyak 10 sen pada tahun kewangan 2025, bersamaan hasil dividen sekitar 3%.
"Kami menaikkan penarafan kumpulan kepada "pegang" berbanding "jual" dengan harga sasaran (TP) baharu sebanyak RM3.44 sesaham sejajar dengan jangkaan peningkatan harga minyak sawit mentah (MSM) yang lebih kukuh pada separuh kedua 2025," katanya. - DagangNews.com








