KUALA LUMPUR 30 Jun - Pengeluaran buah tandan segar (BTS) Kim Loong Resources Berhad pada FY26 diramal melonjak antara 5% hingga 10% disokong profil umur pokok yang lebih baik di kawasan produktif serta kesinambungan program penanaman semula, kata TA Securities.
Katanya, mereka juga merancang untuk melaksanakan program penanaman semula antara 300 hingga 500 hektar pada FY26 dengan menjangkakan harga minyak sawit mentah (MSM) berada sekitar RM4,000 bagi setiap tan untuk sepanjang tahun.
"Kami bagaimanapun mengekalkan pandangan berhati-hati terhadap harga MSM yang dilihat berada dalam keadaan tertekan akibat eksport yang lemah dari negara pengimport utama serta jangkaan peningkatan dalam bekalan minyak sayuran global," katanya dalam satu nota kajian.
Terdahulu, untung bersih kumpulan bagi suku pertama berakhir 30 April 2025 (1QFY26) turun 15.3% kepada RM41.9 juta walaupun mencatatkan pertambahan hasil sebanyak 6% kepada RM411.7 juta.
Keuntungan yang lebih rendah itu adalah disebabkan margin pemprosesan yang lemah daripada operasi kilang, walaupun harga jualan dan pengeluaran BTS lebih baik menyumbang kepada peningkatan hasil.
Berbanding suku sebelumnya yang berakhir pada 31 Januari 2025 (4QFY25), keuntungan bersih hampir dua kali ganda daripada RM22.8 juta, walaupun hasil menurun daripada RM443.3 juta, yang disebabkan peningkatan dalam pengeluaran FFB.
Firma penyelidikan itu berkata, keuntungan daripada operasi kilang pada 1QFY26 adalah sebanyak RM21.8 juta, turun 43.8% berbanding RM38.7 juta bagi tempoh sama tahun sebelumnya.
Katanya, penyusutan itu disebabkan margin pemprosesan yang lebih rendah disebabkan penurunan ar perahan minyak.
Walaupun purata harga jualan MSM meningkat 10.6% kepada RM4,622/tan, pengeluarannya menurun sebanyak 5.9% kepada 71,200 tan, manakala jualan MSM merosot sebanyak 8.8% kepada 71,000 tan.
TA Securities mengekalkan saranan "pegang" dengan harga sasaran (TP) RM2.31 sesaham.- DagangNews.com








