Penganalisis unjur kemerosotan jualan automotif, persaingan EV semakin sengit pada 2026 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis unjur kemerosotan jualan automotif, persaingan EV semakin sengit pada 2026

Oleh Amree Ahmad

KUALA LUMPUR 20 Feb – Jumlah volum industri (TIV) automotif Malaysia mencatat 64,298 unit pada Januari 2026, meningkat 28.7% tahun ke tahun (YoY) namun susut 29% bulan ke bulan (MoM).


Penganalisis berpandangan situasi itu dipacu limpahan tempahan model baharu hujung 2025, tetapi walaupun permulaan tahun dilihat positif, mereka menjangkakan jualan perlahan sepanjang 2026.


Kata firma penyelidikan berkenaan, ia susulan faktor musim perayaan, hari bekerja yang pendek serta persaingan harga yang semakin agresif — khususnya dalam segmen kenderaan elektrik (EV).


Tambah mereka, data terkini daripada Persatuan Automotif Malaysia (MAA) menunjukkan TIV Januari 2026 membentuk sekitar 8% daripada unjuran tahunan, sekali gus sejajar dengan jangkaan pasaran.


Menurut MBSB Research, prestasi bulan berkenaan sebahagian besarnya disokong oleh faktor momentum pelancaran banyak model baharu pada hujung tahun lalu, terutamanya daripada Proton dan Perodua.


"Pertumbuhan segmen kenderaan penumpang meningkat 29.8% YoY dipacu oleh lonjakan jualan Proton sebanyak 103.9% YoY dan Perodua pula kira-kira 12.4% YoY," jelasnya dalam nota kajian hari ini.


Model baharu Proton iaitu Saga (10,285 unit) muncul terlaris keseluruhan pada Januari 2026 iaitu lebih 70,000 tempahan terkumpul, manakala e.MAS 5 mencatat lebih 14,000 tempahan setakat ini.


Dalam segmen EV pula jelas MBSB Research, sebanyak 30,848 unit model jenis BEV direkodkan MAA pada 2025, melonjak 108.9% YoY, yang mewakili 4% daripada TIV berbanding hanya 2% tahun sebelumnya.


Ia menjangkakan lebih banyak model pemasangan tempatan (CKD) EV oleh jenama bukan nasional susulan pengecualian cukai sehingga akhir 2027, namun mempersoalkan sama ada tempoh insentif itu cukup.


"Justeru, kami mengekalkan unjuran TIV 2026 pada 788,000 unit, menyusut 4% YoY daripada 821,000 unit pada 2025, sejajar dengan unjuran MAA sebanyak 790,000 unit (-3.8% YoY)," katanya lagi.


Selain itu, MBSB Research masih lagi mengekalkan penarafan sektor automotif sebagai 'neutral' tanpa menyenaraikan pilihan utama ke atas mana-mana saham syarikat terlibat buat masa ini.


Sementara itu, RHB Research turut mengekalkan pendirian 'neutral' dengan unjuran TIV 805,000 unit bagi 2026, iaitu susut 2% YoY, dan menjangkakan jualan pada suku pertama 2026 lebih perlahan.


Kata firma tersebut, ia susulan dua musim perayaan utama iaitu Tahun Baharu Cina dan Aidilfitri yang mengurangkan jumlah hari bekerja, dengan pemulihan berkemungkinan berlaku pada suku kedua.


"Kami menyifatkan prestasi Proton sebagai kejutan positif apabila jualan melonjak sebanyak 46% bulan ke bulan (MoM) kepada 19,750 unit, iaitu paras tertinggi dalam tempoh 15 tahun," tambahnya.


Keadaan itu kata RHB Research, meningkatkan pegangan pasaran jenama tersebut kepada 30.7%, paling tinggi sejak 2012, dengan model Saga dan S70 masing-masing mencatat jualan 10,285 dan 1,604 unit.


Jurang jualan dengan Perodua yang merekodkan 26,128 unit kini semakin mengecil, manakala dalam segmen EV pula, Proton muncul sebagai jenama terlaris pada Januari dengan 3,276 pendaftaran. 


Ia mengatasi BYD (913 unit) dan Zeekr (489 unit), berdasarkan data Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ), namun jumlah pendaftaran EV secara keseluruhan susut 23% MoM kepada hanya 6,239 unit.


"Perkembangan lemah ini dipercayai akibat pembelian awal ke atas model pemasangan import penuh (CBU) sebelum tamatnya rebat cukai EV dari luar negara pada 31 Disember 2025," kata RHB Research.


Ia berpandangan permintaan EV selepas ini dijangka beralih kepada model CKD yang masih menikmati insentif cukai sehingga 2027, tetapi memberi amaran risiko utama termasuk tempahan lebih perlahan.


Firma berkenaan turut menjangka persaingan harga yang semakin sengit dalam pasaran, namun melihat prospek TIV 2026 sebagai perlahan selepas empat tahun pertumbuhan berturut-turut. - DagangNews.com