Penganalisis turunkan ramalan pendapatan Bermaz Auto susulan prestasi lemah | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis turunkan ramalan pendapatan Bermaz Auto susulan prestasi lemah

Oleh Shamsiah Zulkafli

KUALA LUMPUR 13 Mac - Penganalisis menurunkan ramalan pendapatan untuk Bermaz Auto Bhd selepas prestasi syarikat pada suku ketiga tidak memenuhi jangkaan.

 

Hong Leong Investment Bank (HLIB Research) mengurangkan anggaran sebanyak 15.1% untuk tahun kewangan 2025 (FY25), FY26 (36.9%) dan FY27 (21.9%) disebabkan oleh penurunan jumlah jualan dan margin keuntungan.

 

Bermaz mencatatkan pendapatan teras sebanyak RM24.5 juta pada suku ketiga yang berakhir pada 31 Januari 2025, menjadikan keuntungan bersih sembilan bulan kepada RM135 juta, penurunan 48.3% berbanding tahun lalu (y-o-y).

 

"Angka itu kurang memuaskan berbanding jangkaan, iaitu ramalan untuk FY25 sebanyak RM191.5 juta, meningkat 70.5%. 

 

"Begitu juga dengan ramalan penganalisis lain yang menjangkakan RM249 juta, peningkatan 54.2% yang terjejas akibat penurunan jumlah jualan kereta dan margin keuntungan," katanya dalam satu nota kajian.

 

Jelas firma berkenaan, ia antara lain disebabkan oleh penurunan jualan kereta dan margin keuntungan yang semakin merosot.

 

HLIB Research berkata, kemasukan model baharu Xpeng G6 juga tidak dapat meningkatkan prestasi kumpulan walaupun telah menyumbang sepenuhnya pada suku tersebut, sementara jualan Mazda dan Kia terus menurun. 

 

Kehadiran pengeluar kereta China (OEM) dengan harga menarik juga meningkatkan persaingan di Malaysia.

 

Operasi Bermaz di Filipina juga terkesan akibat persaingan sengit dari OEM China. 

 

Namun, pelancaran baharu Xpeng X9 dan model-model baharu oleh Mazda dan Deepal dijangka dapat membantu meningkatkan prestasi syarikat dalam beberapa suku akan datang.

 

CIMB Securities juga sependapat apabila menyatakan pendapatan sembilan bulan Bermaz tidak memenuhi jangkaan dan hanya mencapai 61% daripada anggarannya dan penganalisis lain. 

 

Ia meramalkan penurunan jualan Mazda di Malaysia sebanyak 30% pada FY25, tetapi dijangka pulih pada FY26 dengan pelancaran model baharu seperti CX60 dan CX-80. 

 

Namun, pemulihan tersebut dijangka berlaku dengan pengurangan margin akibat persaingan yang lebih sengit.

 

Harga saham Bermaz jatuh 47% dalam tiga bulan lepas kerana prospek pendapatan yang lemah akibat persaingan yang lebih kuat dalam segmen premium. 

 

CIMB Securities mengekalkan saranan 'pegang' terhadap saham tersebut dengan harga sasaran yang lebih rendah sebanyak RM1.10. - DagangNews.com