Penganalisis: Tambang mahal, pembatalan penerbangan dikhuatiri tekan Capital A pada 2QFY26 | DagangNews - Berita Bisnes Anda Skip to main content

Penganalisis: Tambang mahal, pembatalan penerbangan dikhuatiri tekan Capital A pada 2QFY26

Oleh AMREE AHMAD

KUALA LUMPUR 19 Mei — Ketegangan geopolitik di Timur Tengah mencetuskan kebimbangan terhadap prospek Capital A Berhad apabila sentimen perjalanan udara semakin lemah, menurut penganalisis.


Mereka berpandangan, kenaikan harga bahan api jet, tambang penerbangan lebih tinggi dan peningkatan pembatalan penerbangan di seluruh dunia kebelakangan ini, boleh memberi kesan pada suku kedua FY26.


Walaupun syarikat itu berjaya kembali mencatat keuntungan pada suku pertama FY26, firma berkenaan memberi amaran impak sebenar tekanan kos dan kelembapan permintaan dijangka ketara pada suku kedua.


Antaranya, MBSB Research yang mengekalkan saranan 'beli' terhadap Capital A dengan harga sasaran (TP) sebanyak 77 sen, meskipun mengakui keputusan bagi 1QFY26 lebih lemah daripada jangkaan awal.


"Keuntungan bersih teras hanya RM26.9 juta, mewakili 11% daripada unjuran tahunan, namun prestasi ini menunjukkan pemulihan ketara berbanding kerugian bersih teras RM211 juta sebelum itu," katanya.


Tambah firma penyelidikan tersebut, pendapatan kumpulan naik 84.9% tahun ke tahun (YoY) selepas pelarasan penghapusan antara syarikat, manakala hasil kasar kembali positif kepada RM99.1 juta.


MBSB Research berkata, segmen penyelenggaraan pesawat di bawah anak syarikat Capital A, iaitu Asia Digital Engineering (ADE) mencatat pertumbuhan hasil 7.3%, dengan disokong pertambahan pelanggan.


Sementara itu, Teleport merekodkan pertumbuhan hasil hampir 20%, susulan peningkatan jumlah kargo dan bungkusan yang dihantar, tetapi AirAsia Move terus berdepan tekanan apabila hasil susut 5.6%.


"Kelemahan prestasi suku ke suku (QoQ) kemungkinan dipengaruhi faktor bermusim apabila beberapa segmen utama termasuk Teleport dan AirAsia Move mencatatkan penurunan pendapatan mereka," katanya.



Capital A Berhad_DagangNews



Justeru, MBSB Research masih lagi mengekalkan unjuran hasil Capital A secara keseluruhan, dan menunggu taklimat pengurusan kumpulan tersebut berkaitan dengan jangkaan prospek sepanjang FY26.


Dalam pada itu, TA Securities berpandangan impak konflik geopolitik dan kos operasi yang meningkat akan memberi tekanan lebih besar kepada syarikat berkenaan bermula pada tempoh suku kedua FY26.


Firma itu berkata, sentimen perjalanan lemah akibat tambang tinggi, harga bahan api jet mahal dan pembatalan penerbangan dijangka menjejaskan prestasi AirAsia Move, Santan, Teleport serta ADE.


“Kesan perang di Timur Tengah diramalkan lebih jelas pada keputusan 2QFY26 kerana tempoh tersebut akan menerima impak penuh daripada kenaikan harga bahan api dan kelembapan perjalanan,” katanya.


TA Securities bagaimanapun menganggap keputusan bagi 1QFY26 masih dalam jangkaan selepas Capital A masih berupaya lagi mencatat keuntungan teras RM27.2 juta berbanding kerugian besar tahun lalu.


Firma penyelidikan itu berkata, prestasi lebih baik ADE membantu mengimbangi kelemahan AirAsia Move dan Teleport yang terkesan oleh jualan perlahan serta peningkatan kos bahan api pada Mac 2026.


Pada asas suku ke suku (QoQ), hasil AirAsia Move merosot 59.3% disebabkan faktor bermusim dan penurunan jumlah penumpang, sekali gus mengurangkan kutipan tempahan dan jualan bebas cukai.


"Kami difahamkan, sebarang pengurangan kapasiti penerbangan akan memberi kesan langsung kepada permintaan perkhidmatan penyelenggaraan ditawarkan ADE kepada pelanggannya," kata TA Securities.


Bagaimanapun, langkah pengurusan Capital A yang berusaha menstruktur semula hutang lama mula menunjukkan hasil yang positif apabila perbelanjaan faedah susut kira-kira 17.4% YoY pada 1QFY26.


Susulan ketidaktentuan prospek jangka pendek, ia menukar kaedah penilaian dan menurunkan TP kepada 50 sen daripada 66 sen sebelum ini, namun masih mengekalkan saranan 'beli'. - DagangNews.com